ATM Beri Tumpuan Kepada Pembangunan Modal Insan - Zahid Hamidi

Diterbitkan: Isnin, 25 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak hanya tertumpu pada bidang persenjataan canggih dan berteknologi tinggi semata-mata, malah aspek pembangunan modal insan turut diambil kira, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pembangunan modal insan penting kepada ATM bagi memastikan anggota tentera cekap dalam mengendalikan sistem persenjataan dengan lebih berkesan dapat dilahirkan.

"Tumpuan pembangunan modal insan juga meliputi aspek transformasi pemikiran-bertindak, pengetahuan, kemahiran, kepimpinan, emosi dan spiritual di samping memupuk jati diri dan semangat daya juang yang tinggi.

"Program-program khas telah dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan dan menitikberatkan kemahiran pelbagai bagi melahirkan modal insan yang profesional, versatil dan berdaya saing," katanya semasa menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang ingin tahu inisiatif kerajaan dalam mengukuhkan kekuatan pertahanan ATM pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Selain itu, peranan industri pertahanan negara juga dilipatgandakan bagi memastikan ATM mampu bertindak secara mandiri agar tidak terlalu bergantung kepada pembekal dari luar negara, katanya.

Kepada soalan tambahan Raime mengenai bentuk kebajikan kepada anggota tentera, Ahmad Zahid berkata penambahbaikan telah dilakukan Kementerian Pertahanan bagi tujuan itu dari semasa ke semasa.

Ini termasuk penambahbaikan terhadap skim perkhidmatan, mewujudkan pelbagai elaun dan insentif bagi perkhidmatan kritikal, peluang kenaikan pangkat dan meningkatkan tahap kualiti hidup menerusi penyediaan rumah kediaman, perkhidmatan kesihatan serta kebajikan keluarga yang lebih selesa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan