Abdul Aziz Anggap Pemilihannya Bukan Anugerah Tetapi Tanggungjawab

Diterbitkan: Ahad, 24 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Setiausaha Umno bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusoff menganggap pemilihannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bukan anugerah sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan baik.

Abdul Aziz, 49, berkata beliau tidak akan mampu membawa kemenangan kepada BN jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

Justeru beliau mengharapkan semua pihak agar redha dengan pemilihannya dan berkerjasama bagi merampas kembali kerusi DUN itu.

"Saya reda dengan ketetapan ini (terpilih sebagai calon) dan saya harap semua pihak juga reda.

"Tetapi saya bukan faktor utama untuk mencapai kemenangan, saya memerlukan sokongan daripada semua," katanya ketika berucap selepas diumum sebagai calon kerusi DUN Galas oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, Ahad. Abdul Aziz, dari Kampung Bertam Baru di sini juga berharap tunjuk ajar Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah akan membantunya dalam kempen pilihan raya kecil itu.

Bekas pengurus pejabat operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu berkata beliau hanya mengetahui namanya dipilih sebagai calon pagi ini.

Sementara itu, Tengku Razaleigh meminta anggota Umno dan BN bersatu hati dalam memberikan sokongan kepada calon yang dipilih.

"Kita mahu kemenangan besar, bagilah sokongan bulat kepada calon yang dipilih," katanya.

Beliau berkata pilihan raya kecil itu perlu dijadikan sebagai titik permulaan untuk mengubah negeri Kelantan untuk masa depan yang lebih baik.

Dalam sidang medianya selepas itu, Muhyiddin berharap pemilihan Abdul Aziz sebagai calon akan diterima oleh pengundi di kawasan DUN Galas untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan pemimpin mereka.

Beliau berkata pemilihan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas berunding dengan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Latar belakangnya dan kelayakannya amat sesuai bagi membolehkan beliau dipilih menjadi calon dan kita yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab besar ini," katanya.

Muhyiddin berkata walaupun latar belakang pendidikan Abdul Aziz jauh lebih rendah berbanding calon PAS, namun pucuk pimpinan parti yakin ia bukan satu isu yang besar.

"Saya tak fikir satu kesalahan... dari segi keupayaan dan kebolehan serta bakti yang dicurahkannya selama ini, beliau layak mewakili parti apatah lagi disokong dengan faktor BN sendiri yang mempunyai kemampuan yang lebih besar untuk melakukan pembangunan.

"Kita yakin Aziz yang mewakili parti berupaya untuk membawa perubahan yang besar. Bukannya kita nak bongkak atau sombong tetapi memang BN lebih berupaya untuk bawa perubahan," katanya.

Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan contohnya, kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM7 bilion bagi tujuan pembangunan di Kelantan termasuk membina sekolah serta hospital.

Hari ini pula, kerajaan persekutuan melancarkan projek pembinaan 1,500 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang melibatkan kos RM180 juta, katanya.

Ditanya sama ada akan berlaku sabotaj terhadap calon, Muhyiddin memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku kerana Abdul Aziz mendapat sokongan semua pihak di peringkat akar umbi.

Katanya anggota parti menyedari kepentingan parti itu sendiri jauh lebih penting daripada kepentingan individu.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa kerajaan BN gagal menunaikan janji dan menjadikannya sebagai antara modal dalam kempen pilihan raya kecil ini, Muyiddin berkata ia tidak benar kerana semua projek yang dijanjikan dalam proses pelaksanaan.

"Yang tidak dijanjikan pun kita laksanakan apatah lagi yang kita janji. Tapi ia ambil masa... takkan janji hari ini esok dah nak buat. Ini kita perlu realistik," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan