Remaja Perempuan Pulang Selepas Dilarikan Ke Lombok - Berita Semasa | mStar

Remaja Perempuan Pulang Selepas Dilarikan Ke Lombok

Diterbitkan: Sabtu, 23 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Selepas hampir sebulan lebih dilarikan teman lelakinya ke Lombok, Indonesia, seorang remaja berusia 16 tahun, Shafika Mohd Shafiee kembali semula ke pangkuan keluarganya.

Dengan bantuan Kelab Putera 1Malaysia, Shafika dibawa pulang dan tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah di sini kira-kira 10 malam dengan disambut oleh bapanya Mohd Safiee Sardi dan ibunya Mazarah Abdul Latef.

Ditemui pemberita kemudiannya, gadis ini menyatakan rasa kesal dengan apa yang dilakukannya dan menasihati remaja lain agar tidak mengikut jejak langkahnya itu.

"Saya minta maaf banyak-banyak kepada ayah dan ibu. Saya sangat sedih apabila teringat keluarga pada hari raya Aidilfitri dan terpaksa merayakannya tanpa keluarga di sisi," katanya yang berasal dari Ladang Rubana, Teluk Intan, Perak.

Dia dilaporkan hilang pada 4 September lalu kerana lari mengikut seorang pemuda Indonesia yang bernama Misbah ke Lombok.

Misbah sebelum ini bekerja di Ladang Rubana, tidak jauh dari tempat tinggal Shafika.

Shafika berkata perkara yang ingin dilakukannya selepas ini ialah melupakan sementara hal-hal percintaan sebaliknya menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kisah Shafika perlu dijadikan iktibar oleh semua gadis supaya tidak mudah dipujuk oleh lelaki dari Indonesia.

"Sudah terlalu banyak kes yang kita terima mengenai gadis-gadis yang ikut rakan lelaki mereka ke Lombok. Saya berharap kes sedemikian tidak berulang lagi," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan