Orang Asli Bukit Kemandul Mahu Diberi Pekerjaan Di SKVE

Diterbitkan: Sabtu, 23 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANTING: Masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Kemandul meminta pemegang konsesi Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), SKVE Holdings Sdn Bhd, agar membuka peluang pekerjaan untuk belia mereka di lebuh raya itu, Sabtu.

Hasrat tersebut diluahkan Tok Batin mereka Kelat Anak Budin yang mahu melihat belia Orang Asli mendapat manfaat secara langsung daripada pembinaan lebuh raya itu.

Mereka boleh bekerja di SKVE seperti jadi juruwang dan sebagainya, katanya pada program kemasyarakatan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan SKVE Holdings di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah LLM Datuk Ismail Salleh berkata permintaan masyarakat Orang Asli tersebut boleh dijadikan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial SKVE Holdings, memandangkan lebuh raya itu merentasi kampung tesebut.

Bercakap kepada pemberita, Ismail berkata SKVE yang bernilai RM1.1 bilion itu dibina dalam tiga fasa dan fasa pertama yang menghubungkan Putrajaya ke Bandar Saujana Putra telah siap serta dilancarkan Ogos lepas.

Fasa kedua meliputi jarak sejauh 13km menghubungkan Bandar Saujana Putra dan Teluk Panglima Garang di sini sedang dibina dan dijangka siap pada September depan, katanya.

Fasa ketiga katanya, melibatkan jarak sejauh 19km menghubungkan Teluk Panglima Garang ke Pulau Indah, dan keseluruhan lebuh raya sepanjang 52km itu dijangka siap pada 2012.

Pada program hari ini, kira-kira 200 warga LLM dan SKVE Holdings bekerjasama mengecat bangunan tabika dan klinik serta membersihkan surau di perkampungan yang dihuni sekitar 800 penduduk daripada suku Temuan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan