Lawatan Manmohan Ke Malaysia Tingkatkan Hubungan Dua Hala

Diterbitkan: Sabtu, 23 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Lawatan Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh ke Malaysia minggu depan dijangka memperluaskan hubungan perdagangan dan membuka lebaran baru dalam hubungan diplomatik antara dua negara tersebut.

India, ekonomi ketiga terbesar Asia selepas China dan Jepun, sedang sibuk meningkatkan hubungan dengan negara-negara Asia dan ketibaannya di Kuala Lumpur akan mentenagakan hubungan dengan Malaysia, iaitu rakan perdagangan kedua terbesar di ASEAN.

"India dan Malaysia sedang berusaha memberi orientasi strategik kepada rakan perkongsian dan merangka hubungan luas dengan menumpukan kepada sektor penting seperti teknoloji maklumat, infrastruktur, kesihatan dan perubatan, bioteknoloji dan tenaga.

"Lawatan Perdana Menteri itu akan meningkatkan proses ini," kata Setiausaha Kementerian Luar India, Hirupama Rao, kepada media di sini Jumaat.

Sempena lawatan itu dari 26 hingga 28 Oktober ini, sekurang-kurang lima perjanjian termasuk memorandum persefahaman (MoU) yang tertangguh mengenai projek lebuh raya, dijangka dimeterai di Kuala Lumpur.

Manmohan melawat Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melawat India pada Januari lalu.

"India dan Malaysia sentiasa menikmati hubungan yang rapat dan mesra. Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan mendalam dengan rakan sejawatnya mengenai semua aspek hubungan dua hala serta isu kepentingan serantau dan global," katanya.

Hirupama berkata, kedua-dua pemimpin negara itu dijangka mengumumkan kesimpulan rundingan dua hala mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA).

Katanya, syarikat-syarikat pembinaan Malaysia sudah berada di India dan telah menyiapkan 52 projek bernilai AS$2.34 bilion (RM7.26 bilion) dan 35 projek lagi dalam perancangan.

Sempena lawatan itu, Manmohan, yang diiringi oleh isterinya Gursharan Kaur, akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.

Perdana Menteri India itu juga akan merasmikan Forum CEO Malaysia-India, menyampaikan syarahan pada siri Syarahan Khazanah Global 2010 dan melancarkan bersama projek 'Little India' di Brickfields, dengan Najib.

Manmohan, yang dalam rangka lawatan tiga negara di Asia, akan mengadakan sidang kemuncak tahunan dengan Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan di Tokyo sebelum melawat Malaysia.

Lawatan dalam siri Jelajah Asia itu berakhir di Hanoi, Vietnam, apabila beliau akan menghadiri Sidang Kemuncak India-ASEAN Kelapan dan Sidang Kemuncak Asia Timur Kelima. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan