Kapal TLDM Bantu 109 Kapal Dagang Negara Di Perairan Teluk Aden

Diterbitkan: Sabtu, 23 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LUMUT: Kapal bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bunga Mas 5 (BM5) berjaya mengiringi 109 kapal dagang negara melalui perairan Teluk Aden, Somalia sepanjang lapan bulan berada di sana.

Panglima Armada TLDM Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata misi Operasi Fajar 7/2010 tersebut yang disertai 54 anggota itu merupakan operasi paling lama iaitu selama 141 hari berbanding misi-misi terdahulu.

"Misi Operasi Fajar 7/2010 oleh kapal BM5 cukup cemerlang selepas berjaya memastikan 109 kapal dagang negara selamat, sepanjang berada di perairan Teluk Aden.

"Walaupun ancaman lanun di situ masih ada dan berada pada tahap yang membimbangkan, namun semua kapal dagang milik negara bebas daripada sebarang ancaman selepas diiringi kapal BM5," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Krew Kapal BM5 di Jeti Operasi Pangkalan TLDM, Sabtu.

Kapal BM5 yang diketuai Komander J. Kuharal dari pasukan Simpanan Sukarela TLDM selamat tiba di Pangkalan TLDM di sini 10 malam tadi selepas berada di perairan Teluk Aden sejak Februari lepas.

Ahmad Kamarulzaman berkata berdasarkan data yang dikeluarkan Biro Maritim Antarabangsa sejak Januari hingga kini, 89 kes cubaan merampas kapal dagang dilaporkan berlaku di sekitar perairan Teluk Aden di mana daripada jumlah itu 31 kapal dagang berjaya dirampas pihak lanun dan 17 daripadanya masih lagi ditawan.

"Kapal layar 'Lynn Rival' dari United Kingdom merupakan kapal paling lama berada dalam tawanan lanun sejak 23 Okt tahun lepas manakala kapal 'fishing vessel' Keummi 305 dari Korea Selatan merupakan mangsa terbaru lanun pada pertengahan Oktober baru-baru ini," katanya.

Apa yang membanggakan, sejak kapal BM5 ditugaskan di perairan berkenaan tiada sebarang kejadian atau cubaan merampas kapal dagang negara dilaporkan berlaku.

"Ini merupakan satu kejayaan yang cukup besar dan misi berikutnya akan diteruskan lagi bermula minggu depan sebaik sahaja BM5 selesai menjalani pemeriksaan dan penyelenggaraan," kata Ahmad Kamarulzaman yang juga Ketua Angkatan Tugas Operasi Fajar.

Pengoperasian kapal BM5 merupakan hasil kerjasama dan perkongsian strategik antara TLDM dan MISC Berhad dengan menggabungkan kekuatan pasukan anggota TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia di mana krew kapal BM5 telah diserapkan menjadi anggota Pasukan Simpanan Sukarela TLDM.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan