Tamatkan Perang Psikologi Antara Komponen BN

Diterbitkan: Jumaat, 22 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang perwakilan Umno pada Jumaat meminta kesemua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), termasuk MCA dan MIC menamatkan perang psikologi antara mereka secara serta-merta dan tidak lagi menyebut tentang hak orang Melayu.

Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata anggota Majlis Tertinggi (MT) terutama Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertindak sebagai komander politik kepada kerajaan BN dalam mengawasi perkara itu.

Semasa membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat, Jalaluddin membidas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berikutan kenyataannya semalam yang mengatakan bahawa soal kontrak sosial tidak harus dibincangkan secara terbuka.

"Apa kontrak sosial yang kita bincang secara terbuka? Ini adalah perhimpunan Melayu yang memperjuangkan hak Melayu di tanah air. Kita bercakap di dalam keluarga kita. Takkan dalam rumah saya tak boleh cakap dengan isteri?

"Saya bercakap atas asas perpaduan yang diminta Presiden yang meminta kita menjaga semua kaum untuk kepentingan bangsa dan negara, tapi kita minta juga supaya MCA khususnya pun jaga juga hati Melayu ni. Memang betul kalau orang Cina tak sokong kita, kita tak boleh menang tapi kalau Melayu tak sokong, lagi MCA tak boleh menang," katanya.

Chua, sebagai reaksi kepada ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berpendapat soal kontrak sosial tidak harus dibincangkan secara terbuka kerana ia mempunyai sensiviti tertentu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan