Perbahasan Hari Pertama Hambar, Badruddin Penyelamat

Diterbitkan: Jumaat, 22 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEHAMBARAN perbahasan ucapan dasar Presiden pada hari pertama Perhimpunan Agung Umno 2010, Khamis banyak diselamatkan oleh celoteh dan keletah Datuk Badruddin Amiruldin.

Sejak mengambil alih jawatan Pengerusi Tetap Umno daripada Datuk Seri Onn Ismail dan memulakan tugasnya kali pertama pada Perhimpunan Agung Umno 2009, Badruddin tidak pernah menghampakan para pmerhati dan perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dengan gaya yang bersahaja, tidak kira sama ada ketika menyampuk atau menyakat perwakilan berbahas ternyata membuatkan ramai yang tidak kering gusi.

Begitu juga apabila melihat ahli-ahli parti yang memenuhi dewan pasti ada sahaja idea beliau bagi menarik perhatian mereka supaya memberikan fokus kepada pembahas dan pembentang usul.

Perbahasan hari ini dimulakan dengan pembentangan usul ucapan dasar presiden oleh wakil Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil sebelum wakil Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad. Ia kemudian diikuti oleh lapan pembahas lain termasuk Melaka, Wilayah Persekutuan, Perlis, Pahang dan Perak.

Kecenderungan kebanyakan pembahas membaca teks menyebabkan suasana menjadi hambar lebih-lebih lagi isi yang diutarakan kurang 'menggigit' selain tidak bebas untuk mengeluarkan pendapat seperti pidato bebas.

Wakil Selangor Datuk Ir. Mohd. Bushro Mat Johor lebih banyak bercerita tentang 'mimpi yang dialaminya'. Namun beliau mengambil masa terlalu lama dan meleret-leret sehingga kadangkala isi penting yang mahu disampaikan kurang difahami.

Sedangkan sebelum ini Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah mengingatkan supaya para perwakilan membincang dan membahaskan isu-isu penting demi masa depan parti dan Barisan Nasional (BN).

Namun, ternyata perbahasan hari pertama tidak dapat menggambarkan kehendak pucuk pimpinan parti kerana kebanyakan mereka yang berucap hanya seolah-olah mengulas ucapan dasar presiden tanpa ada melontarkan idea-idea segar yang sekurang-kurangnya menjadi nilai tambah.

Lebih malang, masih ada perwakilan yang 'seronok' bercerita tentang kejayaan di negeri masing-masing yang ternyata tidak langsung membantu mencambahkan pemikiran perwakilan lain untuk memberi idea baru atau mengukuhkan kedudukan Umno di negeri masing-masing.

Hanya Md Alwi dan wakil Pemuda, Megat Zulkarnain Omardin yang dilihat bersemangat dan berkobar-kobar melontarkan cadangan dan idea mereka.

Pembahas yang lain ternyata 'lemah longlai' dalam penyampaian mereka dek kerana terikat membaca teks.

Apa pun, kehambaran pada hari pertama itu serba sedikit dapat diceriakan oleh Badruddin dan timbalannya, Datuk Mohamad Aziz.

Jika tiada mereka, lebih ramailah pemerhati atau perwakilan angkat kaki meninggalkan Dewan Merdeka.

Diharapkan perbahasan akan menjadi lebih baik, bernas dan bermaklumat masuk hari kedua esok apabila usul ekonomi serta usul agama dan pendidikan dibentangkan nanti.

Ternyata peranan Pengerusi Tetap amat penting terumatamanya dalam perhimpunan kaum Melayu yang terbesar ini.

Jawatan itu popular semasa Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah menduduki kerusi itu selama 27 tahun sebelum diambil alih oleh Onn.

Allahyarham akan sentiasa diingati oleh ahli-ahli Umno yang gemar memberikan nasihat diselang-seli dengan gurauan sepanjang mengendalikan perhimpunan agung.

Dengan kelebihan sebagai orang lama dalam Umno, peranan Sulaiaman amat besar dan 'berkuasa' sehingga kerap menegur pucuk pimpinan parti termasuk presiden jika terdapat perkara-perkara berbangkit yang mahu dinasihatkan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pun pernah ditegur oleh Sulaiman. Era Sulaiman dua peristiwa yang paling besar yang dilalui sebagai Pengerusi Tetap itu ialah pengharaman UMNO pada tahun 1987 selain pengumuman peletakan jawatan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pada perhimpunan agung parti 2002.

Zaman Sulaiman telah berlalu dan tradisi nakhoda perhimpunan agung diteruskan oleh Onn yang menewaskan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Khalid Yunus dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz pada pemilihan parti tahun 2004.

Berpengalaman sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Onn mengendalikan perhimpunan agung dengan gaya tersendiri dibantu oleh Badruddin sebagai timbalannya yang kini orang paling atas di pentas utama Perhimpunan Agung Umno.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan