Pemuda UMNO Mahu AUKU Dipinda Beri Ruang Golongan Pelajar Aktif Politik

Diterbitkan: Jumaat, 22 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mahu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda bagi membolehkan golongan penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) aktif dan serius membabitkan diri dalam politik. Beberapa exco pergerakan itu yang ditemui Bernama berkata golongan muda dan terpelajar di IPT sewajarnya diberi ruang yang cukup untuk berpolitik kerana merekalah generasi pelapis landskap kepimpinan negara.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan pergerakan itu, Datuk Sohaimi Shahadan berkata kecenderungan golongan para penuntut di pusat pengajian tinggi memilih media altenatif yang pro-pembangkang menyebabkan mereka memilih parti pembangkang selepas tamat pengajian mereka.

Beliau berkata dengan adanya kelonggaran terhadap akta berkenaan, pergerakan Pemuda dilihat akan berpeluang mendekati golongan itu secara lebih efisien.

"Inilah cabaran besar kita, inilah perkara yang perlu difikirkan untuk Model Baru Politik seperti yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kita mahu Kementerian Pengajian Tinggi meminda akta itu," katanya ketika ditemui pada Persidangan Agung Umno 2010, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Ketika ditanya sama ada kelonggaran akta itu akan turut membolehkan pihak pembangkang mendekati golongan berkenaan, beliau berkata:

"Sekarang ini pun mereka telah mendekati golongan itu menerusi media alternatif (yang pro-pembangkang) yang dilihat menjadi pilihan golongan muda, dan saya percaya dengan kelonggaran itu ia membuka ruang lebih luas untuk Pemuda Umno mendekati mereka," katanya.

Exco Pemuda, Mohd Suffian Awang berkata akta berkenaan perlu dikaji semula selaras dengan perubahan landskap politik negara. "Selaras dengan amanat Presiden Umno yang mahu seluruh kepimpinan dan akar umbi menyusun strategi untuk Umno terus berada di barisan depan serta mampu mengekalkan pentadbiran dan menerajui pemerintahan di Putrajaya," katanya.

Mohd Suffian, yang juga Pengerusi Program Makmal Pemuda Barisan Nasional, berkata beberapa program bagi mendekati golongan muda sedang giat digerakkan.

"Antara program yang kita lakukan sekarang ialah mewujudkan 'BN Youth LAB' di laman sosial popular Facebook yang kini mencecah keahlian lebih 5,000 orang," katanya. Beliau berkata semua maklum balas dan pendapat yang dikemukakan golongan muda di laman berkenan akan dibawa dan diketengahkan kepada pihak kerajaan.

"Selain itu, menerusi program 'Jelajah One Malaysia' (JOM) misalnya, ia merupakan satu program yang mengajak golongan muda bersama-sama pergerakan itu membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan sumbangan. "Fokus program itu ketika ini ialah membaik pulih rumah-rumah golongan kurang upaya menerusi pembabitan golongan muda," katanya. Seorang lagi Exco Pemuda, Datuk Mohd Khairun Aseh berkata sekatan terhadap golongan penuntut di IPT untuk aktif berpolitik hanya akan mengundang pemberontakan.

"Mereka perlu dibenarkan berpolitik, seperti yang ditekankan Perdana Menteri, pertarungan politik baru ialah pertarungan minda, dan kita mesti benarkan golongan muda di IPT berpolitik dan meluahkan minda mereka," katanya.

Beliau berkata adalah malang apabila golongan ini tidak dibenarkan berpolitik, mereka akhirnya memberontak secara tidak sihat dan akhirnya memilih pihak pembangkang selepas tamat pengajian mereka. "Itulah yang sedang berlaku, dan perkara inilah yang perlu dinilai semula," katanya.

Sementara itu, seorang perwakilan Pemuda Umno, Zulkafli Shamsuddin berkata akta berkenaan perlu dipinda supaya lebih banyak aktiviti dan pembabitan golongan berkenaan dalam politik negara.

"Kelonggaran itu juga kita lihat akan dapat membolehkan Pemuda Umno dapat mengadakan pelbagai program untuk mendekati golongan ini, mereka tak lagi disekat untuk aktif, dan kita juga tidak lagi disekat untuk lebih mendekati mereka secara terbuka," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan