Malcon East 6 Berlepas Ke Lubnan Jayakan Misi Unifil

Diterbitkan: Jumaat, 22 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUBANG: Seramai 36 pegawai dan 124 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada kumpulan pendahulu Malcon East 6 (ME 6) berlepas ke Lubnan malam ini bagi menggantikan Malcon East 5 (ME 5) yang bakal pulang ke tanah air akhir bulan ini.

Tujuh pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut menyertai kontinjen itu dalam menjayakan misi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

Panglima Angkatan Bersama Datuk Jamil Osman berkata kumpulan itu diketuai oleh Leftenan Kolonel Ahmad Marzukee Abd Manaf dan mereka akan bertugas di selatan Lubnan selama sembilan bulan.

"Kumpulan pendahulu ME 6 ini akan mengambil alih tugas ME 5 yang akan menamatkan tugas pada 28 Okt nanti. Sesungguhnya saya amat menghargai semangat jati yang ditunjukkan oleh kumpulan ME 6 ini," katanya ketika berucap sebelum melepaskan pasukan itu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja (TUDM), Subang dekat sini Khamis.

Beliau berkata penglibatan berterusan ATM dalam misi Unifil itu mencerminkan kepercayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat dunia terhadap tahap profesionalisme serta keupayaan perajurit negara.

"Saya yakin latihan intensif yang dijalani oleh para perajurit dalam tempoh tiga bulan yang lalu, bakal memberi persediaan yang baik dari segi fizikal, mental dan spiritual.

"Ini secara tidak langsung membolehkan setiap ahli kontinjen memenuhi keperluan seperti yang diharapkan dalam menjayakan misi itu," katanya.

Kumpulan ME 6 merupakan kompeni yang akan dijadikan sebagai komponen batalion Sepanyol dan akan terlibat dalam operasi keselamatan dan kestabilan dalam kawasan tanggungjawabnya.

"Saya juga berasa gembira kerana kawasan tanggungjawab untuk ME 6 akan diperluaskan lagi daripada 8km kepada 14km persegi... semestinya menjadi tanggungjawab warga ME 6 untuk memelihara tanggungjawab ini demi negara dan ATM khususnya," kata Jamil. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan