Khairy Cadang Kelab UMNO Luar Negara Diserap Ke Dalam Pemuda UMNO

Diterbitkan: Jumaat, 22 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno mencadangkan supaya pelajar lelaki yang menganggotai Kelab Umno Luar Negara diserap ke dalam pergerakan Pemuda Umno.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata cadangan itu pada dasarnya mendapat sokongan semua wakil Kelab Umno Luar Negara dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Kelab Umno Luar Negara Datuk Ahmad Shabery Cheek.

"Saya kena maklumkan kepada Majlis Tertinggi bahawa saya menawarkan jalan terus kepada mereka (anggota kelab) untuk bergiat aktif dalam Pemuda Umno dan saya beri komitmen kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan secara tertutup bersama wakil-wakil Kelab Umno Luar Negara di sini, Jumaat.

Menurutnya cadangan itu wajar diberi keutamaan kerana Kelab Umno Luar Negara yang sering mengadakan program, mempunyai pengaruh di kalangan rakyat dan pelajar Malaysia di luar negara.

Ketika ini terdapat 71 kelab Umno di 16 buah negara.

Khairy berkata hasil komitmen pemimpin Umno, kelab-kelab Umno di luar negara kini kembali aktif apabila berjaya menghidupkan beberapa kelab yang tidak bermaya, seperti Kelab Umno di Rusia yang sebelum ini susah untuk bergiat aktif dan juga di Pakistan yang dulunya tutup, dihidupkan semula.

"Jadi kita lihat minat terhadap Umno itu sedang meningkat, dan Pemuda Umno ingin membantu serta memperluaskan lagi pengaruh Umno di luar negara," katanya.

Beliau berkata cadangan itu wajar dilaksanakan bagi membolehkan anggota kelab itu yang menjadi aset dan modal insan, dilatih untuk menjadi pemimpin di masa depan.

"Saya sedar sebagai Ketua Pemuda perlu ada had umur yang memerlukan kita berundur. Jadi, saya kena cari bakat-bakat baru yang mana satu hari nanti bakal menggantikan barisan Pemuda Umno sedia ada," katanya.

Berhubung tindakan pembangkang sering mendampingi pelajar-pelajar luar negara, Khairy berkata ia adalah perkara biasa tetapi yang penting Umno perlu bertindak lebih bijak untuk menarik pelajar menyertainya.

"Kita tak boleh sekat sebab mereka bebas untuk mendampingi pelajar-pelajar di sana. Kita pun kena buat benda yang sama, kita perlu sertai forum, jumpa pelajar dan kena pastikan kalau ada apa-apa program-program besar, kita juga perlu ada di situ dan jangan kita bagi kemenangan percuma kepada mereka di luar negara," katanya.

Khairy juga berkata semua wakil Kelab Umno Luar Negara menyatakan sokongan terhadap cadangannya agar kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membolehkan pelajar-pelajar tempatan bergiat dalam politik. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan