Lebih Ramai Pelancong Datang Kerana Strategi Saya, Kata Ng Yen Yen

Diterbitkan: Khamis, 21 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen hari ini menyangkal dakwaan kementeriannya telah terlebih belanja dalam mempromosikan Malaysia di luar negara.

Sebaliknya kata beliau, strategi promosi yang dilakukannya iaitu menerusi 'sentuhan peribadi' telah berjaya menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

"Saya telah memutuskan untuk turun padang dengan lebih kerap. Saya akan berjumpa dengan pengusaha pelancongan, media dan pihak berkuasa di sana untuk meyakinkan mereka Malaysia adalah negara yang baik untuk dilawati.

"Strategi adalah berbeza dan jika kesan daripada lawatan menteri sendiri lebih baik berbanding promosi secara umum, maka menteri itu harus turun padang. Itu bermakna anda tahu kerja anda," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, Khamis.

Beliau mengulas dakwaan Anggota Parlimen Batu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua bahawa kementerian itu lebih banyak berbelanja untuk lawatan berbanding mempromosikan Malaysia di luar negara. Semalam, Ng dalam jawapan bertulis kepada Tian Chua berkata kementerian itu dijangka membelanjakan RM1.7 juta untuk lawatan rasmi Menteri Pelancongan ke luar negara tahun ini, berbanding RM1.2 juta pada 2008 dan RM1.6 juta pada tahun lepas.

Mengulas lanjut perkara itu hari ini, Ng berkata tahun lepas kementeriannya diperuntukkan RM337 juta untuk promosi dan kedatangan pelancong meningkat kepada 23.65 juta orang yang berbelanja RM53.4 bilion.

Pada tahun sebelumnya ketika kementerian itu di bawah Datuk Seri Azalina Othman Said, peruntukan untuk promosi ialah RM358 juta dan ketibaan pelawat untuk tahun tersebut ialah 22 juta yang menyumbang RM49.56 bilion kepada pendapatan negara.

"Tahun lepas, bagi setiap pelancong yang datang sebanyak RM14 dibelanjakan untuk promosi dan setiap pelancong berbelanja RM2,600. Pada 2008 kita belanja RM16 untuk setiap pelawat, pada 2007 kita belanja RM18 dan pada 2006 kita belanja RM20 (untuk setiap pelancong)," katanya.

Terdahulu dalam satu majlis di ibu negara, beliau berkata kementerian itu telah memperuntukkan RM5 juta untuk bekerjasama dengan media mempromosikan kempen '1Malaysia Green, 1Malaysia Clean'.

"Objektif kempen adalah untuk menukar pemikiran, tabiat dan sikap rakyat Malaysia terhadap kebersihan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan