Puteri Umno Johor Saran Semak Semula Silibus Agama

Diterbitkan: Rabu, 20 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno Johor menyarankan agar silibus mata pelajaran Agama disemak semula agar dapat mendidik pelajar dengan lebih cemerlang.

Ketua Penerangannya, Azura Mohd Afandi berkata, semakan semula itu sebagai salah satu langkah bagi mencegah masalah sosial yang berleluasa.

Selain itu, katanya, memperkasakan kebolehan guru-guru agama wajar dilakukan dalam memangkinkan semangat pelajar mendalami ilmu agama.

"Keruntuhan moral generasi muda amat membimbangkan. Tindakan segera harus diambil agar masalah sosial melibatkan golongan remaja dapat dibendung.

"Puteri Johor melihat institusi pendidikan merupakan entiti yang baik dalam mendidik generasi muda dengan lebih berkesan," katanya dalam perbahasan Puteri Umno pada Pehimpunan Agung Umno 2010 di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Azura berkata, Kementerian Penerangan boleh memainkan peranan penting dalam menyebar maklumat memandangkan kementerian itu paling dekat dengan masyarakat.

Katanya, program dan iklan yang tidak sesuai untuk tontonan terutama kepada golongan muda tidak memberi faedah perlu dikurangkan dan diberi garis panduan lebih ketat.

"Kementerian perlu memperbanyakkan program dan iklan berbentuk pendidikan.

"Program seperti Akademi Al-Quran, Imam Muda, Forum Perdana adalah contoh program keagamaan yang baik," katanya.

Puteri katanya, mahukan program seperti itu ditambah agar ia dapat menarik golongan muda kerana ia dapat membangunkan modal insan yang seimbang.

Sementara itu, Azura berkata, peranan itu tidak seharusnya dipikul seorang diri oleh Kementerian Penerangan. Sebaliknya beliau berharap semua kementerian dan jabatan seharusnya memainkan tanggungjawab itu.

Beliau berkata, kepimpinan Puteri di semua peringkat juga perlu menunjukkan sifat yang terbaik agar menjadi contoh dan ikutan kepada ahli dan masyarakat sekeliling.

"Semua ahli perlu lengkapkan diri dengan pengetahuan agama serta laksanakan tuntutan dan suruhan agama agar kita dapat menjadi penggerak utama membangun ummah," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan