Kad Skor Pemimpin Sayap Umno - Muhyiddin

Diterbitkan: Rabu, 20 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umno akan memperkenalkan ‘Kad Skor’bagi menilai prestasi kepimpinan ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dalam tempoh dua tahun akan datang.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ‘Kad Skor’ tersebut akan menilai penglibatan dan prestasi pemimpin setiap sayap dalam bidang ekonomi, pendidikan, agama, kebudayaan, kesukanan, khidmat sosial, pembangunan keluarga, pemeliharaan alam sekitar dan hubungan kaum.

“Dengan adanya ‘Kad Skor’ ini, setiap pemimpin akan dapat dinilai prestasi masing-masing untuk tempoh dua tahun yang akan datang.

“Mereka yang menunjukkan prestasi tinggi akan diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Selasa.

Menurutnya, inisiatif tersebut perlu dianggap sebagai salah satu daripada usaha ikhlas setiap pemimpin untuk meningkatkan imej parti dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap parti.

“Saya yakin sekiranya sistem ini dilaksanakan sepenuhnya, kita akan menyaksikan satu lonjakan baru dalam tahap keaktifan dan keberkesanan gerak kerja saudara saudari.

“Saya yakin apabila ini berlaku, bukan sahaja sayap-sayap yang akan mengalami lonjakan, malah keseluruhan parti akan menerima kesan yang positif. Dan saya yakin saudara saudari mampu melaksanakannya,” katanya.

Beliau menyeru setiap sayap parti memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendokong perjuangan parti terutamanya dalam suasana politik yang semakin mencabar pada hari ini.

“Isu-isu dan segala tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap Umno perlu segera ditangkis. Malah, sayap-sayap parti mesti sentiasa berperanan secara lebih agresif untuk memperkukuhkan Umno serta membentuk pandangan positif rakyat terhadap Umno.

“Saudara saudari bukan sekadar berada di barisan pertahanan, tetapi di barisan hadapan perjuangan parti,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Umno telah mula berubah kerana wujudnya kesedaran dalam minda di kalangan pemimpin dan ahli-ahli parti.

“Umno adalah sebuah wadah politik yang mempunyai prinsip perjuangan dan idealisme yang murni, namun tetap pragmatik dalam pendekatannya.

“Meskipun Umno sebuah parti yang besar dan bertunjang kepada kebangsaan Melayu-Islam, namun sifat keadilan, akomodatif dan inklusif Melayu itu, tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau agama lain yang bernaung di bawah politik Melayu,” katanya.

Jelasnya, perkara tersebut berbeza dengan sikap parti pembangkang yang tidak mempunyai landasan perjuangan.

“Sebab itulah, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit, maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing.

“Mereka cacamarba, seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita,” katanya.

Beliau berkata, matlamat pembangkang mudah dan hanya mahu mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya, hingga sanggup menggadai maruah negara hingga sanggup menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa.

“Umno tidak begitu. Umno tetap istiqamah dengan sumpah perjuangan. Umno tidak pernah tergelincir daripada landasannya.

“Perubahan politik membawa pembaharuan dalam pendekatan; tetapi ia sama sekali tidak mencabut roh perjuangan dari jasad dan sanubari Umno.

“Roh perjuangan tetap mekar dalam sanubari Umno; dan terpancar dalam setiap tindakan dan pendirian parti. Bagi Umno, kuasa hanyalah alat untuk mencapai matlamat perjuangan parti yang murni,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, Umno merupakan sebuah parti memperjuangkan agama, bangsa demi kepentingan negara tanpa menjadi hamba kepada kuasa.

“Umno tidak pernah diam sebagai parti politik yang statik dan jumud. Umno telah melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah wadah politik yang sentiasa relevan dengan semangat zaman dan citra rakyat.

“Umno telah berjaya membawa Malaysia melalui pelbagai fasa pembangunan sosio-ekonomi yang telah memberi manfaat besar kepada rakyat,” katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan