Gelagat Lucu Dan Penggunaan Dialek Pahang Cuit Hati Perwakilan Wanita

Diterbitkan: Rabu, 20 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Celoteh dan gelagat lucu wakil Pahang di samping menggunakan dialek negeri yang pekat menghiburkan 799 perwakilan Wanita pada Perhimpunan Agung pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu.

Ketika para perwakilan kelihatan mengantuk pada sesi petang perhimpunan, kemunculan Anggota Jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Temerloh, Hamiah Khatib Awang, di rostrum untuk menyokong usul ekonomi yang dibentangkan oleh Bendahari Wanita Umno Perlis Dr Soraya Azmi, kembali menyegarkan suasana.

Hamiah nyata kelihatan teruja untuk berucap walaupun bukan topik yang digemarinya iaitu berkenaan topik ekonomi.

"Kenapalah bagi saya usul ekonomi, bagilah saya topik politik tetapi tidak mengapalah, saya akan berucap dan bawakan masalah-masalah yang dihadapi orang kampung," katanya berseloroh diikuti dengan ketawa para perwakilan.

Beliau juga berseloroh dengan mengatakan bahawa orang kampung tidak hirau mengenai Model Baru Ekonomi (MBE) dan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar yang dirancang kerajaan kerana mereka lebih mementingkan kebajikan dan faedah yang bakal dinikmati mereka.

Sambil menyatakan kekaguman dengan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu, Hamiah sempat "menyelitkan" permintaan dengan mengatakan keperluan untuk lebih banyak insentif dan bantuan diberikan kepada penduduk luar bandar.

"Ini penting sebab orang luar bandarlah yang banyak memenangkan kita (dalam pilihan raya)," katanya sambil mendapat tepukan dan sorakan gemuruh daripada para perwakilan.

Beliau juga mempersoalkan pemberian kenaikan elaun kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), tetapi tiada kenaikan elaun untuk setiausaha, bendahari dan anggota jawatankuasa.

"Pengerusi dapat RM800, pengerusi pergi haji percuma, beli tanah dapat subsidi, (tetapi) setiausaha? bendahari? ahli jawatankuasa apa hal? Tak ada pun.

"Apa salahnya setiausaha dapat setengah daripada elaun pengerusi kerana setiausahalah tulang belakang JKKK, setiausaha dibayar RM80 untuk buat fotostat dan bancuh air kopi je, dahlah dalam Umno tiada gaji," katanya mengundang gelak ketawa perwakilan.

Perkara yang sama juga turut dipersoalkan mengenai imam yang menerima kenaikan elaun bulanan tetapi tidak pula bagi bilal dan siak.

"Kalau macam tu bila bilal sakit tekak, suruh saja imam yang azankan, sebab bilal tiada kenaikan elaun, memanglah itu (amalan) hal akhirat, tetapi dunia juga kena pentingkan juga, kita mohonlah elaun itu diubah," katanya.

Walaupun masa dihadkan selama 15 minit sahaja untuk pencadang, sambil ditegur oleh Timbalan Pengerusi Tetap Wanita Umno Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed kerana melebihi masa, Hamiah tetap meneruskan ucapannya sambil disokong oleh para perwakilan yang mahukan beliau terus berucap.

"Banyak lagi masalah orang kampung ni, Pahang negeri besar, tetapi masa diberi 15 minit, mana cukup," katanya disambut gelak tawa perwakilan.

Hamiah turut meminta anggota Wanita supaya tidak melayan cadangan Cuepacs yang mahukan penjawat awam bersara pada umur 60 tahun.

"Jangan layan Cuepacs nak kerja sampai 60 tahun, saya tak lama lagi dah nak pencen, saya sendiri takde mood nak kerja sampai 60 tahun, ramai lagi orang-orang baru yang cari kerja," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan