Yang di-Pertuan Agong Kurnia Darjah Kebesaran Kepada 276 Penerima

Diterbitkan: Selasa, 19 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen hari ini mengetuai 276 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 7 Jun lepas.

Foong antara empat penerima darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri pada majlis pengurniaan yang berlangsung di Balai Rong Seri Istana Negara di sini.

Tiga lagi penerima ialah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Prof Tan Sri Dr Nik Mustapha R.Abdullah, pengerusi Perfect Eagle Development Sdn Bhd Tan Sri Koo Yuen Kim dan pengerusi Abex Medical System Sdn Bhd Tan Sri Kuang Eng Kong.

Sementara itu, empat menerima darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk iaitu Timbalan Ketua Audit Negara Datuk Latifah Datuk Abu Mansor, Panglima Armada Pengkalan Tentera Laut diRaja Malaysia (TLDM) Laksamana Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, setiausaha agung Parti Liberal Demokratik Datuk Teo Chee Kang dan presiden Taman Teknologi Malaysia Datuk Dr Parmjit Singh Meva Singh.

Selain itu, enam menerima Johan Mangku Negara (JMN), 13 Johan Setia Mahkota (JSM), 55 Kesatria Mangku Negara (KMN), 69 Ahli Mangku Negara (AMN) dan 125 Pingat Pangkuan Negara (PPN). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan