Kebangkitan Kumpulan Moderat Mampu Pastikan Dunia Aman - Najib

Diterbitkan: Selasa, 19 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Golongan moderat di seluruh dunia diseru supaya bertindak segera bagi memastikan dunia menjadi aman demi kehidupan sejagat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, golongan yang berfahaman sederhana itu mampu memainkan peranan bagi menangkis pelbagai gambaran negatif yang disampaikan oleh kumpulan ekstremis yang terdiri daripada kelompok kecil.

"Saya menyeru golongan moderat di seluruh dunia supaya sama-sama bertindak menangkis maklumat yang disampaikan oleh golongan ekstremis.

"Kalau semua golongan moderat bersatu, saya yakin kita mampu menjadikan dunia ini aman," katanya semasa menyampaikan ucapan penutup forum antarabangsa bertajuk 'Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru'sempena Perhimpunan Agung Umno 2010 di sini, Selasa.

Presiden Umno itu berkata, masyarakat di seluruh dunia yang majoritinya terdiri daripada golongan moderat dan berfikiran rasional perlu bangkit menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu global termasuk yang berkaitan isu agama.

Jelasnya, golongan ekstremis yang berada dalam kelompok minoriti tidak boleh dibiarkan menguasai pemikiran masyarakat global terutamanya dalam menyebarkan maklumat dan fahaman negatif mengenai sesuatu isu.

"Masalah di Asia Barat dan isu Palestin adalah perkara yang dibawa oleh golongan ekstremis, jadi ia perlu diatasi segera.

"Kalau kita biarkan, tindakan golongan ekstremis akan berterusan... masalah ini bukan berkaitan antara agama Islam, Kristian, Hindu dan agama-agama lain, ia hanya dicetuskan oleh golongan berkenaan," katanya.

Justeru Najib berkata, media boleh memainkan peranan sebagai medium bagi untuk golongan moderat menyuarakan pandangan.

"Golongan moderat lebih terkenal sebagai kelompok majoriti senyap, tapi adalah menjadi keperluan pada masa ini untuk kita gunakan media untuk salurkan maklumat dan pandangan golongan moderat.

"Melalui media kita boleh salurkan suara individu ataupun pemimpin di seluruh dunia bagi menjadikan suara golongan moderat lebih lantang," katanya.

Tambah Najib, sudah tiba masanya bagi semua masyarakat global agar bertindak mengubah pandangan negatif yang disampaikan oleh golongan ekstremis melalui medium komunikasi seperti Internet.

"Selepas kemajuan dan teknologi komunikasi dicapai, golongan ekstremis ini menggunakan medium berkenaan sebagai alat penyebar maklumat.

"Oleh itu sudah tiba masanya kita bertindak bagi memencilkan kembali golongan ekstremis ini demi kepentingan masyarakat global," katanya.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan