Forum Antarabangsa Sempena Perhimpunan Agung Umno Wajar Diadakan Setiap Tahun

Diterbitkan: Selasa, 19 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Forum Antarabangsa 2010, yang julung kali diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini wajar dikekalkan, dan dianjurkan setiap tahun bagi memberi lebih peluang kepada para perwakilan berinteraksi dan berbincang dengan dunia luar mengenai isu-isu antarabangsa.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata forum itu amat bermakna terutama buat Umno kerana ia dapat memberi tunjuk ajar mengenai pelbagai perkara, termasuk strategi dan teknik yang digunakan oleh parti-parti lain di dunia yang pernah mengharungi zaman-zaman kemerosotan sokongan.

"Secara peribadi yang paling saya tumpukan perhatian adalah Parti Kongres India yang mengalami kemerosotan sokongan pada satu tempoh dan mereka bangkit kembali dan muncul sebagai sebuah parti politik yang disokong ramai," katanya kepada Bernama selepas majlis penutupan forum itu, Selasa.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno.

Muhammad Khairun berkata ucapan Najib semasa majlis penutupan forum itu turut memberi inspirasi kepada keseluruhan peserta forum, terutama semasa beliau meminta supaya setiap perjuangan dan penampilan dalam perjuangan harus bersifat sederhana. "Perkara itulah yang sering dibincang dalam forum ini, sebab itu apabila Perdana Menteri menyebut tentang kesederhanaan, perwakilan memberi tepukan gemuruh kerana walaupun beliau tidak bersama kami selama dua hari ini beliau seolah-olah mendengar elemen dan forum yang dibincangkan," katanya.

Ketua Penerangan Kelab Umno London Ahmad Dzuhair Hanafiah pula berkata forum itu bukan sahaja menjadi medan untuk bertukar-tukar pendapat, malah ia juga merupakan peluang untuk mengenali media dan delegasi luar, di samping menyalur maklumat yang tepat bagi menangkis tohmahan-tohmahan liar serta persepsi yang salah, terutama mengenai parti.

Beliau berkata langkah Umno menganjurkan forum itu juga menunjukkan Umno bersedia untuk berubah dan mendengar pandangan luar.

Ketua Kelab Umno Korea Mohd Hafizul Ismail pula berkata melalui forum itu perwakilan juga dapat melontarkan idea yang dapat digunakan dalam proses transformasi negara.

"Umno perlukan satu perubahan yang dinamik. Pengalaman di Korea sendiri pun, kalau diadakan perhimpunan parti, memang ia akan disertakan dengan forum antarabangsa dan di sini mereka dapat idea-idea baru," katanya.

Beberapa delegasi asing yang menghadiri forum itu ketika ditemui di sini turut berkongsi pandangan yang sama.

Setiausaha Agung Kongres Nasional bagi Pembinaan Semula Timur Leste Dr Dionisio Babo berkata, langkah menganjurkan forum itu merupakan inisiatif yang baik di mana ia membuka peluang untuk berkongsi dan saling mempelajari antara orang ramai di seluruh dunia.

Beliau berkata tema persidangan itu juga dilihat kena pada masanya dalam usaha memahami setiap perkembangan baru dalam dunia, terutama semasa dunia berada di tengah kancah globalisasi.

"Saya rasa ini cukup hebat, saya perlu ucapkan tahniah kepada Umno yang menganjurkan persidangan antarabangsa yang begini penting, dan saya juga ingin sampaikan ucapan tahniah daripada Presiden saya Xanana Gusmao, yang juga Perdana Menteri Timor Leste.

"Saya percaya forum ini seharusnya diteruskan. Ia perlu diadakan setiap kali Umno mengadakan Perhimpunan Agung, dan ia perlu turut membabitkan lain-lain parti politik di rantau ini, supaya kita bersama dapat menyumbang kepada dunia lebih baik dan menjadi sebahagian daripada warga global," katanya.

Anggota Parlimen Zimbabwe dari parti Zimbabwe African National Union-Patriotic Front (Zanu-PF), Senator Monica Mutsvangwa pula berkata semua negara perlu tampil bersama dan terus berbincang mencari jalan untuk bergerak ke hadapan dan menjadikan suara mereka didengar.

"Saya sukakan forum ini, saya ingin melihat ia diteruskan kerana masih ada banyak yang perlu dilakukan, dibincangkan, dan pasti lebih hebat sekiranya ia dapat diadakan setiap tahun, kerana masih ada banyak yang perlu dilakukan, ini baru permulaan," katanya.

Sementara itu wakil National Resistance Movement Habib Kagimu berkata Malaysia merupakan contoh sebuah negara Islam di mana segalanya dilaksanakan dengan cara yang sederhana dan ia perlu dicontohi oleh lain-lain negara.

Lebih 400 orang, termasuk 63 perwakilan dari 22 parti politik dari 22 negara, di samping 54 perwakilan kelab-kelab luar negara Umno dam penganalisis politik, mengambil bahagian dalam forum dua hari yang bertajuk "The Creation of Global Citizens: Media Liberalisation and the New Political Realities".

Forum itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Turut menyampaikan ucaptama di forum itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut mengingatkan kerajaan supaya mendengar pandangan media yang liberal untuk lebih memahami pemikiran semasa orang ramai. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan