Sektor Pembinaan, Bahan Binaan Dapat Tumpuan Dalam Bajet 2011

Diterbitkan: Isnin, 18 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan dan bahan binaan menjadi penerima manfaat utama dalam usaha kerajaan meningkatkan perbelanjaan infrastruktur dan pembaharuan bandar dalam Bajet 2011.

Gamuda mungkin memperoleh bahagian penting projek Transit Aliran Berkapasiti tinggi (MRT), berdasarkan pemilikannya ke atas pelan konsep, kata Amresearch dalam ulasan mengenai Bajet 2011.

"Bagaimanapun, kami menyokong peralihan daripada Gamuda kepada IJM memandangkan pasaran mungkin sudah mengambil kira projek itu," kata firma penyelidikan itu.

"Kedudukan nilai IJM adalah lebih menarik. Ia sudah meletakkan dirinya pada kedudukan yang baik untuk membida projek MRT, selain rekod baik dalam pembinaan bangunan pejabat Gred A dan kondominium mewah yang merupakan ciri-ciri Daerah Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFD), Warisan Merdeka dan projek 1MDB," katanya.

Projek MRT berharga RM40 bilion di Lembah Klang akan dilaksanakan mulai 2011. Turut menerima manfaat ialah syarikat keluli dan simen.

"Kami memilih simen. Syarikat simen, LaFarge, mempunyai rali kukuh dengan harga sahamnya pada paras yang sesuai," kata AmResearch.

Harga keluli masih pada paras rendah.

Menurut Amresearch, sumber-sumber industri berkata projek MRT mungkin memerlukan sekurang-kurangnya 10 kali lebih banyak palang keluli berbanding terowong SMART, dan oleh itu permintaan domestiknya sangat cerah.

"Ann Joo merupakan pilihan utama kami. Peluasan kapasitinya berlaku tepat pada masanya," kata Amresearch.

Budget 2011 mencadangkan beberapa insentif untuk peningkatan, antara lain, pemilikan rumah di kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

"Kami tidak menjangkakan impaknya terlalu ketara," katanya.

"Yang penting, halangan yang kerap diperkatakan mengenai pinjaman kepada nilai untuk pembelian hartanah ketiga tidak disebut dan rejim Keuntungan Hartanah kekal pada status quo," kata Amresearch.

Cadangan menubuhkan Skim Amanah Hartanah Bumiputra berlandaskan Syariah tahun ini, menurut Amresearch dijangka meluaskan permintaan untuk pelaburan hartanah.

Bajet 2011 juga mencadangkan pelaksanaan program B5 (adunan Biobahan dengan Petroleum Diesel) secara mandatori di beberapa negeri menjelang Jun tahun depan.

Harga subsidi tidak jelas namun pelaksanaan dasar ini mungkin meningkatkan pemintaan minyak sawit mentah (MSM) kepada kira-kira 500,000 tan - satu pertiga daripada paras inventori negara - yang meningkatkan harga.

"Ini serta dollar Amerika Syarikat yang lemah, mungkin menyokong harga MSM." katanya.

Sarawak juga mendapat habuan dalam Bajet 2011 dengan tumpuan untuk meningkatkan infrastruktur asas, melibatkan peruntukan RM6.9 bilion untuk kemudahan air, elektrik dan jalan luar bandar.

Kerajaan juga merancang membina loji tenaga gas berkapisit 300-MW di Kimanis, Sabah.

"Kami menjangkakan pembangunan minyak dan gas disegerakan seperti yang dibuktikan menerusikan kelulusan projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) kepada Samsung dan Naim Holdings," kata Amresearch.

Ia turut meletakkan nilai adil FBM KLCI pada 1,380 tahun ini dengan memihak kepada paras yang lebih tinggi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan