Media Tradisional Perlu Lebih Terbuka, Agresif Dalam Penyampaian Laporan - Berita Semasa | mStar

Media Tradisional Perlu Lebih Terbuka, Agresif Dalam Penyampaian Laporan

Diterbitkan: Isnin, 18 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengamal media tradisional seperti stesen televisyen, radio dan surat khabar perlu lebih terbuka dan telus dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai bagi menyaingi populariti media generasi baru yang laporannya bercorak lebih agresif dan kian diminati.

Pengerusi Kelab Umno Lancaster-Morecambe, Mohammad Iqmal Mohd Zambri berkata walaupun media baru yang menggunakan platform Facebook, Twitter dan Blog dilihat gemar menyampaikan maklumat secara terbuka tanpa mementingkan implikasinya, namun media tradisional masih tetap dihormati.

"Tak dapat dinafikan, media yang bersifat liberal bagus, tetapi kita perlulah mengawal isi kandungan berita yang kita nak sampaikan agar tidak mudah mencetuskan perasaan kurang senang di kalangan masyarakat.

"Jadi media tradisional perlu terus mengambil pendekatan yang lebih bersahsiah dan lebih berinteraksi agar kehendak masyarakat dapat diambil kira ketika menghasilkan berita," katanya kepada Bernama selepas mengikuti forum antarabangsa mengenai "Pembentukan Warga Global : Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik" di sini, Isnin.

Forum dua hari itu, yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, dihadiri 63 wakil 22 parti politik dari 20 negara, Kelab UMNO Luar Negara (KULN) serta delegasi kedutaan asing dan penganalisis politik.

Ia diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno ke-61.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyampaikan ucaptama pada forum itu.

Sambil menyokong kenyataan Mohd Iqmal, Pengerusi KULN Jogjakarta Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin, turut menegaskan media tradisional perlu lebih agresif dalam menyaingi laporan media bebas yang dilihat gemar memberikan publisiti kepada pembangkang.

Mohd Hafiezulniezam ,penuntut di Universiti Gajahmada berkata, gaya media tradisional yang banyak menekankan sahsiah dilihat sudah tidak relevan apabila maklumat pada zaman sekarang bergerak lebih pantas seiring dengan perkembangan teknologi.

"Pembangkang dilihat lebih pandai menggunakan platform media baru ini untuk menyuarakan pendapat, mungkin kerana mereka susah mendapat tempat di kalangan media tradisional.

"Jadi, harus bagi media tradisional bersifat lebih agresif atau dalam erti kata lain, lebih peka dan pantas terutama dalam menangani isu sensitif agar rakyat mendapat maklumat dengan lebih tepat," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Hafiezulniezam berkata kedua-dua media saling memerlukan antara satu sama lain bagi meningkatkan kualiti laporan serta saling memberi kritikan membina sambil menyampaikan maklumat. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan