Firma Malaysia Digesa Rebut Peluang Di China

Diterbitkan: Isnin, 18 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat Malaysia perlu merebut peluang di China dalam usaha untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Syarikat-syarikat domestik harus memanfaatkan pasaran yang sedang berkembang di Asia, terutamanya China kerana Malaysia mempunyai kedudukan yang baik, kata Dr Chua, yang juga penasihat kepada Forum Ekonomi Cina Dunia (WCEF).

Beliau menggesa syarikat Malaysia menyertai WCEF kedua, yang akan diadakan dari 2-3 Nov ini, bagi memanfaatkan peluang yang banyak di China., kuasa ekonomi kedua terbesar. "Perdagangan tiada halangan kerana apa yang penting ialah keuntungan. Dunia telah berubah dari segi ekonomi dan juga politik," katanya pada taklimat media mengenai WCEF di sini, Isnin.

Dr Chua menggesa syarikat Malaysia mengorak langkah untuk merebut peluang pelaburan seperti yang diketengahkan di bawah Program Transformasi Ekonomi yang sektor swasta akan memacu pelaburan ke arah ekonomi 2020.

Forum tersebut, yang dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Country Heights Holdings Bhd dan Easy Pha-max Marketing Sdn Bhd, merupakan platform untuk menjalin perkongsian dan kerjasama.

Forum tersebut yang bertajuk "Building Business Linkages in a Globalised World" akan menumpukan kepada kebangkitan kuasa ekonomi Cina global, yang bukan sahaja dari China tetapi juga daripada diaspora Cina di seluruh dunia.

Dr Chua berkata diaspora Cina global tersebar di Asia Tenggara, Australia, Eropah dan Amerika dan terus menjadi kuasa penting bagi kemakmuran ekonomi dan pertumbuhan di negara mereka masing-masing.

Beliau juga berkata MCA akan menganjurkan bersama WECF ketiga tahun depan dengan ASLI dan berharap menjadikan forum itu lebih antarabangsa dengan topik-topik yang menarik perhatian.

"Kami mahu menjadikan forum seterusnya lebih menarik dengan topik-topik seperti sama ada benarkah ekonomi di Timur hari ini terpisah daripada ekonomi Amerika, dan sama ada ekonomi pasaran bebas yang diamalkan di Amerika adalah lebih baik berbanding ekonomi dorongan kerajaan seperti yang diamalkan di China," katanya.

Mengenai WECF, beliau berkata, forum itu akan menumpukan kepada perbincangan tentang kepentingan China yang semakin meningkat kepada Asia dan ekonomi global, serta peranan penting yang terus dimainkannya dalam memacu pemulihan ekonomi serantau dan global.

Forum itu juga menyasar menggalakkan hubungan perniagaan yang lebih erat di kalangan diaspora Cina, memanfaatkan sumber ekonomi usahawan Cina di seluruh dunia dan menyediakan platform bagi kerjasama global. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan