Tengku Razaleigh Yakin BN Mampu Rampas Kembali Galas

Diterbitkan: Ahad, 17 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berdasarkan kepada jentera pilihan raya yang tersusun selain peningkatan sokongan rakyat terhadap BN.

Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi DUN itu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata dengan petunjuk itu beliau yakin BN boleh memenangi DUN itu dengan majoriti yang besar.

"Gerak kerja nampak semakin kuat hingga ke akar umbi dan ini sangat menggembirakan.

"Melihat perubahan yang semakin kuat berlaku berikutan sokongan rakyat kepada BN dengan jelas kita akan mendapat kemenangan," katanya pada majlis perjumpaan dengan bekas tentera di Bukit Chekati, di sini, Ahad.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Suruhan Pilihanraya (SPR) menetapkan 26 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 4 Nov.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, gerak kerja yang diatur sejak beberapa hari lepas tidak menampakkan sebarang masalah, malah semua jentera komited untuk meraih sokongan pengundi.

Anggota Parlimen Gua Musang itu juga berkata BN kini mendapat banyak bantuan sama ada dari dalam bahagian itu dan juga jentera luar yang dianggap mampu mengembalikan maruah BN di Galas.

"Kita mengakui sebelum ini imej BN terjejas kerana kita di DUN Galas tidak pernah kalah kepada parti lawan tetapi pilihan raya umum lepas tewas dengan majoriti yang kecil sahaja.

"Oleh itu, kita rasa tidak menghadapi sebarang rintangan untuk meraih kemenangan lebih besar dan bersejarah dalam pilihan raya kecil DUN Galas kali ini," katanya. Bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera BN supaya tidak menimbulkan sesuatu perkara yang boleh menyinggung perasaan pengundi, sebaliknya memastikan setiap pergerakan di semua tempat dapat diterima dengan baik.

"Kita juga mengharapkan bekas tentera supaya menyokong BN dalam pilihan raya kecil itu kerana hanya BN sahaja yang boleh membantu dalam segala keperluan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan