Penghayatan Nilai Perpaduan Perlu Disemarak Di IPT

Diterbitkan: Ahad, 17 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Penghayatan nilai perpaduan perlu disemarakkan di institusi pengajian tinggi (IPT) melalui pelbagai kegiatan kepada golongan pelajarnya, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Ahad.

Beliau berkata ini penting kerana pelajar adalah bakal pewaris kepimpinan negara dan nilai perpaduan merupakan aset penting bagi memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman serta makmur.

"Jika di kalangan mereka sendiri tidak memahami erti sebenar perpaduan, bagaimana mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan apabila tamat pengajian dan berada dalam kelompok masyarakat kelak," katanya dalam teks ucapan perasmian Debat Perpaduan IPT peringkat kebangsaan.

Teks ucapan itu dibacakan oleh speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Yazid Mat.

Md Isa yakin melalui aktiviti seperti debat sedikit sebanyak mampu menjadi saluran dalam memberi kefahaman kepada penuntut IPT mengenai kepentingan konsep perpaduan di kalangan rakyat untuk dipraktikkan.

Beliau berkata konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai nilai murni dan perlu dipertahankan.

"Ini bukan konsep baru, malah ia merupakan sambungan daripada perjuangan bekas Perdana Menteri yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dahulu lagi," katanya.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Azman Amin Hassan berkata pertandingan debat kali keenam itu membabitkan penyertaan peserta berbilang kaum dalam setiap pasukan.

Sebanyak 24 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan debat empat hari yang bermula hari ini.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan