UMNO Kelantan Tumpu Empat Kelompok Sasaran Kempen Di Galas

Diterbitkan: Sabtu, 16 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Umno Kelantan akan menumpukan perhatian terhadap empat kelompok pengundi pada sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kelompok tersebut ialah warga emas yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, wanita, pemuda dan golongan agama.

"Keempat-empat kelompok perlu didampingi kerana merupakan penentu kepada kejayaan parti dan strategi tertentu sudah diambil bagi tujuan itu," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kepada pemberita, selepas bermesyuarat dengan ketua jabatan kerajaan,Sabtu.

Mustapa yang juga Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) berkata Umno Kelantan tidak mengambil mudah cabaran di Galas dan persiapan jentera akan dibuat secara tersusun.

"Saya selaku Timbalan Pengarah akan membantu (Pengarah jentera) Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan akan mengikut segala arahan bagi menjamin kemenangan BN," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan selepas penyandangnya dari parti PAS, Che Hashim Sulaima, 46, meninggal dunia akibat barah usus pada 27 Sept lalu.

Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Okt ini dan pengundian pula dijadualkan pada 4 Nov.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan