Rosmah Seru NGO Amalkan Pendekatan Kebajikan Untuk Semua

Diterbitkan: Sabtu, 16 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor meminta Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan menggunakan pendekatan kebajikan untuk semua selaras dengan gagasan 1Malaysia, Sabtu.

Beliau berkata menerusi pendekatan itu NGO dan agensi kerajaan menyalurkan bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Pendekatan kebajikan untuk semua akan memastikan semua anggota masyarakat Malaysia menikmati limpahan kemakmuran kehidupan dan seterusnya akan memastikan kita semua terus menikmati keamanan, kedamaian dan keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan bantuan kepada 400 penerima daripada golongan miskin sempena sambutan Deepavali Heart2Heart anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di dewan perkahwinan Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves di sini.

Pada masa yang sama beliau turut menyeru NGO dan agensi kerajaan berganding bahu dalam menyalurkan bantuan kebajikan kepada rakyat.

Dengan adanya kerjasama mantap antara agensi kerajaan dan NGO, segala isu yang melibatkan kebajikan rakyat akan dapat ditangani dengan lebih cekap dan berkesan, katanya.

Beliau turut berharap individu dermawan serta sektor korporat akan terus menyuburkan amalan kebajikan untuk semua dalam usaha mewujudkan masyarakat bebas daripada belenggu kemiskinan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan