Najib Garis Empat Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian

Diterbitkan: Sabtu, 16 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan empat perkara yang perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara, termasuk membangunkan intelek di kalangan generasi baru yang boleh berfikir secara kreatif dan inovatif.

Perdana Menteri berkata kerajaan perlu memupuk generasi baru yang sangat tinggi daya ingin tahu kerana ini membuka ruang buat mereka untuk mencari maklumat.

"Kalau seseorang itu punyai daya ingin tahu tinggi, dia akan rajin baca buku, akan rajin cari sumber maklumat. Dia akan merupakan seorang individu yang akan sentiasa mahu meningkatkan pengetahuan sepanjang hayatnya," katanya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Perhimpunan itu, yang dihadiri kira-kira 14,000 guru dari seluruh negara, turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata sistem pendidikan negara yang melibatkan perkara termasuk cara mengajar di bilik darjah, menyediakan kertas soalan dan buku teks sepatutnya menjurus kepada pembangunan intelek dan menjana minda yang sangat kreatif dan inovatif.

Semasa menggariskan perkara kedua, beliau berkata untuk mencapai status negara maju pada 2020, pengajaran dan pembelajaran sains, matematik dan teknologi perlu diperkukuhkan kerana ini merupakan bidang yang rakyat Malaysia mesti memiliki kekuatan.

"Saya percaya Kementerian Pelajaran akan terus mengorak langkah supaya penguasaan kita dalam bidang-bidang tersebut akan terus dapat ditingkatkan," katanya.

Menyentuh perkara ketiga, Najib berkata beliau ingin melihat masyarakat menjurus ke arah masyarakat bilingual yang dapat bertutur dan menguasai bahasa kebangsaan dengan baik kerana ia jatidiri yang harus diperjuangkan selain menguasai kefasihan Bahasa Ingeris.

"Dan kalau boleh trilingual kerana menguasai pelbagai bahasa, (ia) dapat tingkatkan daya saing dalam dunia yang semakin global," katanya.

Najib berkara perkara keempat melibatkan penekanan kepada nilai dalam pendidikan untuk mendidik anak bangsa supaya tidak mudah menyongsang daripada segi perilaku dan tindakan yang boleh merosakkan kepentingan masyarakat.

"Nilai dalam pendidikan ini amat penting sama ada melalui pendidikan Islam, pendidikan moral dan sebagainya. Ia amat bermakna dalam kita membina sebuah generasi baru yang lebih mulia dan berakhlak ini," katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada guru-guru dan menyifatkan perguruan sebagai profesion yang sangat mulia dan penting dalam melahirkan generasi yang baik dalam menentukan masa depan negara.

Sebagai seorang yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dan Menteri Pelajaran, Najib berkata beliau amat memahami pengharapan para guru dan juga sumbangan mereka.

"Sebab itulah, dalam apa pun perkara pun, setiap guru mesti menyatakan bahawa kerjanya sebagai guru adalah menjangkau daripada kerja-kerja biasa seorang pentadbir. Seorang guru adalah pendidik yang akan menentukan masa depan anak-anak kita dan negara," katanya.

Sambil menyatakan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kualiti pendidikan, Najib berkata apa juga peluang pendidikan mesti sampai ke seluruh pelusuk tanah air dan sebab itu kerajaan cuba merapatkan jurang di antara kawasan bandar dan luar bandar.

Selain itu, katanya kerajaan memberi respon kepada keluhan guru mengenai Sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dengan menggantikannya dengan satu sistem baru mulai Jun depan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan