Menara 100 Tingkat Pemangkin Industri Pelancongan

Diterbitkan: Sabtu, 16 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Kementerian Pelancongan menyambut baik cadangan membina menara setinggi 100 tingkat seperti yang diumumkan dalam Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jumaat.

Menterinya Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata dengan adanya menara itu, dikenali sebagai Warisan Merdeka, sektor pelancongan negara akan terus pesat dan yakin ia juga mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

"Ia bukan sahaja memberi faedah kepada industri pelancongan tetapi juga kepada sektor perdagangan dalam negara.

"Rakyat Malaysia seharusnya menyambut baik cadangan membina menara 100 tingkat ini kerana ia untuk faedah negara juga," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA di sini, Sabtu.

Dalam pengumuman itu, Najib berkata, Permodalan Nasional Berhad akan membangunkan projek bersepadu berharga RM5 bilion yang membabitkan menara setinggi 100 tingkat yang dijadual siap menjelang 2020.

"Kita boleh membina kerana kita ada kapasiti untuk membina menara seperti itu. Tengok Shanghai (China), dia ada tower dia dan dia tambah lagi, seperti juga di Taipei.

"Kita nak tunjuk kepada dunia kita boleh buat," katanya.

Katanya, Malaysia telah mengambil langkah berani untuk bersaing dengan negara lain untuk membina menara pencakar langit itu.

Sementara itu, Ng yang juga Pengerusi MCA Kelantan akan mendekati 1,481 pengundi Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang sebahagian besarnya anggota MCA. Katanya MCA telah pun menggerakkan jentera pilihan rayanya bagi menambat hati pengundi Cina itu.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lalu.

Tarikh penamaan calon bagi DUN itu 26 Okt ini dan hari pengundian 4 November ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan