Skim Rumah Pertamaku Bantu Rakyat Miliki Rumah Di Usia Muda

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skim Rumah Pertamaku yang bertujuan memudahkan golongan muda pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan memiliki rumah mendapat sambutan positif daripada pelbagai persatuan pengguna.

Masing-masing melihat skim itu yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2011, sebagai satu langkah yang dapat meringankan beban pembeli muda.

Ketua Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan Nadzim berkata ia merupakan satu pendekatan yang baik bagi memberi jaminan kepada masa depan pemuda.

Penghapusan bayaran 10 peratus wang pendahuluan akan memudahkan golongan muda memiliki rumah kerana jumlah itu bukan mudah untuk diperolehi khususnya mereka yang berpendapatan sederhana, katanya kepada Bernama di sini.

Najib dalam pembentangan Bajet 2011 berkata Skim Rumah Pertamaku yang akan dilaksana melalui perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Bhd, adalah untuk membantu golongan muda yang pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan memiliki rumah.

Menerusi skim itu pembeli akan mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan, seperti amalan lazim.

Skim tersebut juga menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan oleh pembeli rumah pertama sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Pengguan Malaysia (Fomca) Muhammad Sha’ani Abdullah berharap skim itu akan dilaksana menerusi satu sistem yang baik agar ia tidak diselewengkan.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan memantau pembelian rumah bernilai di bawah RM250,000 yang disifatkannya sering disasar oleh golongan kaya untuk meraih keuntungan. Sementara itu di PULAU PINANG, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S.M.Idris pula berpendapat skim itu perlu diperluas kepada semua rakyat sebagai usaha menyelesaikan masalah pembeli rumah.

Sementara itu mengulas isu berlainan, Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu menyifatkan tindakan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tol bagi empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd untuk tempoh lima tahun akan datang akan memberi manfaat besar kepada rakyat.

"Pengekalan kadar tol itu akan mengurangkan implikasi pengguna yang mana harga barang juga besar kemungkinan akan kekal pada kadar yang sama kerana harga pengangkutan dapat kekal pada kadar sedia ada," katanya kepada Bernama.

Selain itu, pengguna juga dapat berjimat daripada segi kos pengangkutan untuk jangka masa panjang dan bagi sektor pengangkutan pula mereka boleh membuat perancangan untuk memajukan perniagaan mereka memandangkan kadar tol kekal untuk lima tahun akan datang, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan