Persekutuan Majikan Malaysia Sambut Baik Majlis Gaji

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (NWCC) bagi menyediakan garis panduan mengenai perkara berhubung gaji termasuk menggalakkan penerimaan pakai sistem gaji berkaitan produktiviti.

Presidennya Datuk Azman Shah Haron berkata majlis itu juga perlu mengambil kira faktor seperti prestasi nasional, global dan serantau dan jangkaan selain daya saing kos berbanding negara-negara lain.

"Secara keseluruhannya, ia adalah bajet yang amat baik. MEF juga lega memandangkan kerajaan menerima baik gesaannya agar tidak melaksanakan gaji minimum kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan.

Azman Shah mengulas Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen.

Beliau berkata MEF, Dewan Perniagaan dan Industri Jepun Malaysia (JACTIM), Persatuan Tuanpunya Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya (MAPA) dan Persatuan SMI Malaysia (SMI) telah mengemukakan kepada Najib satu Memorandum Bersama bagi penubuhan majlis seumpama itu.

Mengenai kenaikan levi bagi pengambilan pekerja asing, beliau berkata kerajaan perlu menimbang melonggarkan levi untuk sektor perladangan dan pembinaan yang amat bergantung pada pekerja asing.

Beliau berkata MEF juga menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan insuran kesihatan untuk pekerja asing oleh kerana ini akan memberi perlindungan dari segi kesihatan dan kebajikan, dan premiumnya hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pekerja.

Azman Shah berkata kerajaan telah juga mengambil kira isu cuti bersalin dengan cermat dan memutuskan bahawa cuti 90-hari wajar bersifat fleksibel antara majikan dan pekerja, dan tidak menjadikannya wajib.

Bagi peruntukan RM500 juta bagi latihan kemahiran, penyediaan kelas malam dan hujung minggu merupakan usaha yang akan mempertingkat tahap kemahiran pekerja Malaysia, ujar beliau.

Sementara itu, pengumuman kenaikan gaji pokok minimum bagi pengawal keselamatan mengikut kawasan dianggap sebagai keprihatinan dan kepekaan kerajaan dalam sektor keselamatan negara.

Timbalan Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) Datuk Mustapha Ali berkata perkara itu telah dibangkitkan di Parlimen pada Jun lepas namun ditangguhkan pelaksanaannya.

"Sektor perkhidmatan kawalan keselamatan adalah sebagai pelengkap serta bantuan kepada polis dalam usaha memastikan keadaan negara dalam keadaan aman dan damai," kata beliau.

Katanya, polis juga mempunyai soal keselamatan lain yang lebih berat dan serius untuk ditangani.

Najib mengumumkan untuk menguatkuasakan gaji minimum untuk pengawal keselamatan kepada RM500 hingga RM700 sebulan pada Januari 2011 mengikut kawasan berbanding RM300 hingga RM400 pada masa ini.

Mengenai caj yang akan dikenakan selepas ini, Mustapha berkata perkara itu bergantung kepada kontrak yang dipersetujui dengan pelanggan selain perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata terdapat kira-kira 200,000 pengawal keselamatan di seluruh negara yang terbabit menjaga keselamatan bangunan dan premis yang dimiliki kerajaan termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi selain milik swasta.

Terdapat kira-kira 400 syarikat pengawal keselamatan berlesen bernaung di bawah PPKKM, katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan