Memburukkan Negara Sendiri Bukan Sifat Pemimpin Jujur, Kata Rais

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA KLAWANG: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang keluar negara memburukkan tanah air sendiri disifatkan sebagai pemimpin yang tidak jujur, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata dalam sejarah tidak ada pemimpin dunia yang keluar negara mencemuh dan mencaci negaranya sendiri.

"Sebagai Ketua Pembangkang bukan bererti punya lesen untuk mencaci dan memperkecilkan negara sendiri. Beliau (Anwar) bertanggungjawab seperti mana juga Perdana Menetri Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab untuk tanah air," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Inkubator Kraf Buluh Simpang Pertang dekat sini, Khamis.

Anwar sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh, beliau "makan gaji" menerusi Parlimen dan mendapat imbuhan daripada kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang, kata Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu.

Rais berkata demikian mengulas tindakan Anwar ketika diwawancara dengan stesen televisyen TVOne di Indonesia kelmarin yang memperlekeh kemampuan kepimpinan negara untuk menyelesaikan segala pertikaian dan masalah antara kedua-dua negara dengan mendakwa jika beliau menjadi Perdana Menteri, ia boleh diselesaikan dengan segera.

"Jadi, bila sudah dicaci, pada saya markah beliau sebagai pemimpin sudah merudum ke tahap yang sangat rendah," kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata Kraftangan Malaysia akan mempromosikan binaan rumah buluh di beberapa tempat.

Beberapa pelan untuk rumah di kampung atau rumah yang dijadikan sebagai pusat hasil hiasan di beberapa daerah akan ditonjolkan bagi menunjukkan betapa menariknya pembuatan dan hasil daripada buluh yang boleh dijadikan sebagai bahan binaan rumah yang cantik, kata beliau.

"Selain itu, kita akan cuba membuat penyelidikan bagaimana bahan buluh dan rotan diadun sebagai alat-alat perabot yang menarik, di samping menjadikan alat-alat seperti siling rumah, dinding dalaman dan hiasan sebagai dekorasi yang menarik.

"Oleh kerana potensi buluh begitu tinggi dan meluas seperti di Jepun, Taiwan dan di beberapa negara lain, Malaysia harus mengambil inisiatif ini supaya hasil buluh kita itu bukan hanya setakat membuat lemang, tetapi membuat rumah daripada buluh," katanya.

Beliau berkata tentu sekali soal teknik akan timbul dan salah satu daripadanya ialah mewujudkan bahan kimia yang dimasak terus supaya buluh tidak diterokai oleh bubuk atau pun ulat yang biasa jadi penebuk kepada buluh dan juga rotan.

"Kita minta Kraftangan Malaysia menyediakan cadangan awalan dan saya sendiri akan cuba melihat beberapa potensi di mana negeri-negeri yang banyak buluh kita beri promosi supaya bahan ini menjadi bahan yang nyata kepada kita," katanya.

Mengenai pusat inkubator itu, beliau berkata ia akan dapat memberi peluang kepada usahawan kraf yang baru bertapak untuk mengeluarkan produk dan menjalankan perniagaan kraf dengan bimbingan Kraftangan Malaysia sebelum beroperasi secara bersendirian.

"Saya yakin buluh akan menjadi salah satu daripada daya tarikan dalaman di negara kita," kata Rais. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan