BAJET 2011: Pelbagai Jenis Insentif Tingkatkan NKEA

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2011 dengan mengumumkan pelbagai jenis insentif untuk meningkatkan sektor perniagaan, termasuk peruntukan untuk mempromosi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), perbankan Islam dan menningkatkan teknologi hijau menerusi pengecualian cukai dan meluaskan insentif bagi memastikan pembangunan lestari dan menggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Insentif juga disediakan untuk meningkatkan pasaran modal menerusi pengeluaran tiga lesen syarikat broker baharu bagi membolehkan syarikat tempatan, asing dan usaha sama yang layak meningkatkan penyertaan pasaran runcit selain galakan untuk kewangan Islam dan kedudukan Malaysia sebagai penerbit Sukuk terkemuka dunia.

Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bajet ketika negara diunjur mencatat pertumbuhan 7.0 peratus tahun ini berbanding 6.0 peraatus yang diunjurkan sebelum ini dan berkembang antara 5 dan 6 peratus tahun depan.

Pertumbuhan akan disokong oleh pelaburan swasta yang berkembang 10.2 peratus, penggunaan swasta 6.3 peratus dan eksport 6.7 peratus, dengan sektor pembuatan terus mengetuai pertumbuhan dengan berkembang 6.7 peratus dan perkhidmatan 5.3 peratus apda 2011.

Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi bidang kelebihan utama di mana negara mempunyai kepakaran, Najib berkata kerajaan menyediakan RM857 juta tahun depan untuk syarikat tempatan melabur dalam aktiviti bernilai tambah tinggi dalam industri elektrik dan elektronik selain peruntukan untuk merangsang aktiviti huluan dalam industri minyak, gas dan tenaga.

Dana berjumlah RM297 juta akan disediakan untuk menggalakkan penanaman semula pokok tua dengan klon berkualiti tinggi dan sebanyak RM127 juta untuk menyokong syarikat derivatif oleo domestik selain RM23.3 juta untuk meningkatkan industri hiliran minyak sawit, termasuk pengeluaran vitamin.

Beliau berkata Bursa Malaysia akan menubuhkan lembaga antarabangsa untuk membolehkan sekuriti asing disenarai, termasuk produk berlandaskan Syariah, manakala pengurangan cukai akan dibenarkan untuk perbelanjaan bai menerbitkan sekuriti Islam.

Langkah itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran sukuk utama dan mempromosikan transaksi di Bursa Suq al-Sila -- platform dagangan komoditi berlandaskan Syariah pertama di dunia, manakala potongan berganda juga dibenarkan untuk sumbangan takaful bagi kredit eksport.

Peruntukan ini akan baik untuk menggerakkan pelaksanaan projek NKEA dengan jayanya, kata Najib yang menambah, "Kami bukan bermimpi. Kami realistik. Kejayaan kami bukan semata-mata kebetulan tetapi hasil daripada perancangan jelas dan berhati-hati selain pelaksanaan tegas.

Beliau bekata pelaburan di luar negara oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dinaikkan kepada 20 peratus daripada jumlah aset diurus daripada 7.0 peratus sekarang, sebagai sebahagian daripada usaha untuk membolehkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) meningkatkan pelaburan dalam pasaran di luar negara dan meneroka peluang untuk memperoleh pulangan yang lebih baik.

Sebahagian daripada usaha untuk merangsang pembangunan strategi berimpak tinggi, beliau mengumumkan Permodalan Nasional Bhd akan membangunkan Warisan Merdeka, satu lagi mercu tanda dan projek pembangunan bersepadu membabitkan menara 100 tingkat -- menara tertinggi di Malaysia, berharga RM5 bilion, yang mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.

Bagi pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, beliau berkata KWSP akan melaksanakan pembangunan bercampur yang meliputi rumah mampu milik selain kemudahan komersil, industri dan infrastruktur berharga RM10 bilion dengan projek dijadual siap menjelang 2025.

Najib yang juga Presiden Umno, berkata Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan menyediakan dana untuk membolehkan pemilikan hartanah komersil oleh Bumiputera di Lembah Klang meneusi skim pemilikan kumpulan dengan saiz RM1 bilion.

Teknologi maklumat dan Komunikasi (ICT) satu lagi bidang pertumbuhan kukuh Malaysia, akan menerima RM119 juta untuk pembangunan penciptaan kandungan tempatan, menghos kandungan tempatan dan pembukaan saluran baharu untuk kandungan.

Beliau berkata tempoh galakan elaun pelaburan kepada penyedia kemudahan sambungan terakhir perkhidmatan jalur lebar akan dilanjutkan manakala pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan jalur lebar dilanjutkan selama dua tahun sehingga 2012.

Bagi mendayakan kembali pelaburan swasta, Najib berkata Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan memberi peluang kepada pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah komersil utama di bandar utama dalam negara.

"Bumiputera dapat melanggan dalam tabung pemilikan hartanah komersil kelas utama di Lembah Klang melalui skim pemilikan berkelompok," katanya.

Katanya satu Skim Amanah Hartanah Bumiputera dengan saiz bernilai RM1 bilion dan patuh syariah, akan dilancarkan oleh yayasan itu tahun ini.

Kerajaan juga akan melancarkan Dana Pencen Swasta pada tahun depan bagi merancakkan lagi aktiviti pasaran modal.

"Dana ini akan memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri," katanya.

Najib juga mengumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 bagi caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedia ada, diperluaskan meliputi caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta.

Di bawah strategi membangunkan modal insan, Perdana Menteri berkata Talent Corporation yang ditubuhkan awal tahun depan akan menggubal National Talent Blueprint (Kerangka Tindakan Bakat Nasional) dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

"Untuk menyelaraskan layanan cukai, kerajaan mencadangkan supaya cukai jualan dikecualikan ke atas semua telefon mudah alih," katanya.

Beliau berkata cadangan dalam bajet itu merupakan elemen penting untuk membolehkan negara muncul sebagai ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.

Najib turut membuktikan kesungguhan kerajaan dengan memperuntukkan dana untuk firma-firma E&E yang terletak di negeri diperintah pembangkang di Pulau Pinang dan Kulim High-Tech Park di Kedah.

Dan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon, Najib mengumumkan lanjutan pengecualian duti eksais dan import untuk kereta elektrik dan hibrid selain motosikal elektrik.

Selain itu kerajaan akan melaksana program adunan biobahan dengan petroleum diesel (Program B5) secara mandatori di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka mulai Jun 2011.

"Kerajaan akan melaksanakan mekanisme "feed in tariff (FiT)" dalam Akta Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) bagi membolehkan bekalan elektrik yang dijana menerusi RE oleh penyedia individu dan bebas menjualnya kepada syarikat utiliti elektrik.

Bagi mempromosikan industri perkhidmatan perniagaan, RM91 juta diperuntukkan untuk pembangunan kapasiti dalam perkhidmatan penyelenggaraan, membaiki dan baik pulih (MRO) industri aeroangkasa dan program latihan kejuruteraan aeronautik selain promosi perkhdimatan penyumberan luar perniagaan.

Bagi menggalakkan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan, RM411 juta disediakan untuk meningkatkan aktiviti bernilai tambah merentas sektor ekonomi dalam usaha untuk meningkatkan hasrat Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

Bagi meningkatkan Inisiatif Perkongsian Awam-Swasta (PPP), Najib berkata kerajaan telah mengenal pasti beberapa perojek PPP dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk dilaksanakan tahun depan menerusi pelaburan swasta sebanyak RM12.5 bilion.

Beliau berkata kerajaan akan memperuntukkan RM1 bilion daripada dana kemudahan.

Antara projek PPP ialah pembinaan loji janakuasa kitarpadu gas 300 megawatt di Kimanis, Sabah, pembinaan lebuh raya dan projek seperti Hospital Pengajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuantan dan Kompleks Institut Penyelidikan Kesihatan Bersepadu di Kuala Lumpur.

Satu lagi projek PPP bernilai RM2 bilion ialah usaha sama antara Academic Medical Centre Sdn Bhd dan Johns Hopkins Medicine International selain kolej berprestij Royal College of Surgeons Ireland.

Mengenai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) bernilai RM26 bilion, yang akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab Islam utama, beliau berkata kerajaan bersedia menimbang pakej insentif khusus untuk menarik pelabur ke KLIFD.

Satu lagi pembangunan strategik berimpak tinggi ialah transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL (Lembah Klang) yang akan dilaksanakan mulai tahun depan, Najib berkata projek dengan anggaran pelaburan swasta RM40 bilion, akan siap sepenuhnya pada 2020.

Mengenai usaha untuk merangsang industri tenaga, minyak dan gas, beliau berkata projek-projek yang akan dilaksana termasuk penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Peralatan Minyak di Johor dengan pelaburan swasta RM6 bilion selama 10 tahun.

"Bagi memenuhi peningkatan permintaan untuk industri ini, Petronas akan melaksana projek "regasification" dengan pelaburan RM3 bilion di Melaka yang dijangka beroprasi pada 2012," kata Najib.

Dalam meneruskan usaha untuk meningakatkan pembangunan koridor dan wilayah, perdana menteri berkata RM850 juta akan diperuntukkan untuk sokongan infrastruktur dengan tumpuan ke atas projek usaha sama antara pelabur tempatan dan asing selain industri berimpak tinggi dengan kelebihan saingan.

Untuk Iskandar Malaysia, RM339 juta diperuntukkan dengan RM62 bilion daripadanya akan disediakan oleh sektor swasta sehingga Jun tahun ini.

Jumlah pelaburan sebenar dalam koridor sehingga Jun 2010 sebanyak RM25 juta.

Najib juga berkata Newcastle University Medicine Malaysia dan Chelsea Factory Outlet dijangka siap pada 2011 dan Legoland dan Marlborough College pada 2012.

Mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), beliau bekata RM133 juta diperuntukkan untuk membangunkan pusat pemprosesan produk pertanian, infrastruktur pelancongan dan pusat inkubator bioteknologi.

Untuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Najib berkata RM178 juta diperuntukkan untuk membangunan taman industri, loji rawatan air, kawasan pelancongan dan pembangunan semula kawasan yang sebelum ini dimajukan oleh Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara dan Lembaga Pembangunan Wilayah Jengka manakala RM93 juta disediakan untuk Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan RM110 juta untuk Koridor Pembangunan Sabah.

Belia juga berkata Akta akan digubal untuk membolehkan Unit Inovasi Khas (UNIK) yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk mengkomersilkan hasil R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan dengan RM71 juta diperuntukkan kepada UNIK.

Bagi membantu usahawan yang menghadapi masalah kewangan, Najib mengumumkan mekanisme bantuan untuk syarikat dan individu yang bermasalah menerusi Akta Insolvensi baharu yang akan menyepadukan Akta Bankrap 1967 dan Bahagian 10 Akta Syarikat 1965.

Kajian emula itu juga meliputi meminda had minimum bankrap semasa sebanyak RM30,000.

Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara, kerajaan akan menaikkan cukai perkhidmatan kepada enam peratus daripada lima peratus pada masa ini, namun Najib memberi jaminan bahawa ia tidak akan membebankan rakyat memandangkan kadar cukai itu kecil.

"Kerajaan juga mencadangkan supaya cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar," katanya.

Seperti pengumuman awal mengenai usaha kerajaan menubuhkan Perbadanan Bakat menerusi Pejabat Perdana Menteri pada awal 2011, Najib berkata Perbadanan Bakat akan merangka pelan tindakan nasional dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja pakar selain menjalin usaha sama rapat dengan rangkaian bakat di seluruh dunia.

Dalam usaha negara untuk meluaskan penyertaan wanita dalam pembangunan nasional, Najib menggesa sektor swasta supaya menyediakan lebih banyak peluang untuk wanita memegang jawatan pada peringkat membuat dasar, terutama dalam lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Najib berkata dalam usaha untuk mengurangkan beban rakyat, kerajaan akan mewujudkan portal "Pengguna Bijak 1Malaysia" bagi membantu mereka mengetahui pergerakan harga semasa barangan di hampir 7,000 premis perniagaan di seluruh negara, dengan pengguna akan mempunyai pilihan untuk membeli barangan pada harga kompetitif. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan