BAJET 2011: Najib Bentang Strategi Transformasi Negara

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Belanjawan 2011 berjumlah RM212 bilion yang menggariskan pelan strategi dan projek-projek utama ke arah mentransformasi Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ketika berucap di Dewan Rakyat, beliau berkata, bajet ini memberi tumpuan kepada usaha "mentransformasi Malaysia, menjadi negara maju berpendapatan tinggi, berpembangunan inklusif dengan pertumbuhan mapan diterajui sektor swasta serta mendahulukan kesejahteraan rakyat."

Beliau menyifatkan bajet ini sebagai meletakkan "bata-bata pengmuktamad serta memahat paku-paku pelengkap sekaligus menaikkan layar Bahtera Malaysia menuju ufuk negara maju," yang tinggal sembilan tahun, dua bulan dan 17 hari lagi.

Bajet bertemakan "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" itu memberi tumpuan kepada empat strategi utama iaitu Mendaya Kembali Pelaburan Swasta; Membangunkan Modal Insan; Mensejahterakan Hidup Rakyat; dan Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam.

Bagi mendayakan kembali sektor pelaburan swasta, Najib berkata kerajaan akan mempergiatkan inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Ke-10 akan dilaksanakan tahun depan dengan kos pelaburan swasta RM12.5 bilion.

Kerajaan pula menyediakan RM1 bilion daripada Dana Mudahcara.

Antara PPP ialah projek-projek lebuh raya baru Lebuh raya Bertingkat Ampang-Cheras-Pandan, Lebuh Raya Guthrie-Damansara, Lebuh Raya Damansara-Petaling Jaya, Lebuh Raya Pantai Barat Banting-Taiping, Lebuh Raya Sungai Dua-Juru dan Lebuh Raya Paroi-Senawang-KLIA, Pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas 300 Megawatt di Kimanis, Sabah, untuk menambah kapasiti bekalan elektrik adalah untuk memenuhi permintaan semakin meningkat.

Hospital Pengajian Universiti Islam Antarabangsa di Kuantan, serta projek Academic Medical Centre dengan kerjasama John Hopkins Medicine International dan Royal College of Surgeons Ireland melibatkan pelaburan swasta RM2 bilion.

Kerajaan juga, kata Najib, akan menggalakkan sektor swasta kembali memainkan peranan dalam ekonomi melalui beberapa projek strategik berimpak tinggi.

Ini termasuk projek Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) bernilai RM26 bilion yang akan mula dilaksanakan tahun depan oleh 1Malaysia Development Berhad (1(MDB) dengan kerjasama Mubadala Development Company (Mubadala).

Juga di bawah Pembangunan Strategik Berimpak Tinggi, Najib mengumumkan satu lagi mercu tanda di ibu negara dinamakan Warisan Merdeka yang bakal mempunyai menara 100 tingkat di sini.

Katanya projek bersepadu bernilai RM5 bilion, akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, akan dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad.

Menara yang bakal menjadi kebanggaan negara menjelang 2020, selain Menara Kembar Petronas, dijangka siap pada 2015.

Beliau turut mengumumkan projek transit aliran ringan (MRT) di Greater KL berharga RM40 bilion, yang juga termasuk di bawah strategi tersebut, akan mula dilaksanakan tahun depan dengan kos pelaburan swasta dan dijangka siap menjelang 2020.

Turut dilaksanakan tahun depan adalah pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh seluas 2,680 ekar (1,072 hektar) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengandungi kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana. Keseluruhan pembangunan ini dianggarkan bernilai RM10 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

Belanjawan 2011 memperuntukkan RM162.8 bilion sebagai perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Ia juga menggarisi strategi dan insentif bagi mencergaskan pasaran modal termasuk pasaran modal Islam dan mempergiatkan industri modal teroka.

Bagi mendayakan kembali pelaburan swasta, Najib berkata Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan memberi peluang kepada pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah komersil utama di bandar utama dalam negara.

"Bumiputera dapat melanggan dalam tabung pemilikan hartanah komersil kelas utama di Lembah Klang melalui skim pemilikan berkelompok," katanya.

Katanya satu Skim Amanah Hartanah Bumiputera dengan saiz bernilai RM1 bilion dan patuh syariah, akan dilancarkan oleh yayasan itu tahun ini.

Kerajaan juga akan melancarkan Dana Pencen Swasta pada tahun depan bagi merancakkan lagi aktiviti pasaran modal.

"Dana ini akan memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri," katanya.

Najib juga mengumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 bagi caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedia ada, diperluaskan meliputi caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta.

Di bawah strategi membangunkan modal insan, Perdana Menteri berkata Talent Corporation yang ditubuhkan awal tahun depan akan menggubal National Talent Blueprint (Kerangka Tindakan Bakat Nasional) dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

Najib juga berkata kerajaan akan memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti di mana sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing.

"Kementerian Pelajaran diperuntukkan RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru," kata beliau.

Kerajaan akan memperkasa pendidikan awal, memantapkan pendidikan sekolah rendah dan menengah, dan memperkasakan pengajian tinggi, mempergiatkan program latihan dan kemahiran.

Beliau mengumumkan Program Latihan 1Malaysia yang akan dilaksanakan mulai Januari akan datang dengan peruntukan RM500 juta.

Daripada jumlah itu, RM200 diperuntukkan untuk menjalankan latihan di sebelah malam dan di hujung minggu di pusat latihan terpilih seluruh negara seperti Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian.

Najib juga menegaskan bahawa kerajaan komited untuk mempercepatkan proses tranformasi dengan melaksanakan projek dan program di bawah RMK-10, NKRA dan NKEA menerusi bajet ini.

Beliau berkata proses transformasi ini dilaksanakan secara holistik meliputi semua aspek ekonomi, sosial dan politik.

"Apa yang dirangka dan akan dilaksanakan ini merupakan visi bagi memenuhi aspirasi dan impian rakyat," katanya sambil menambah "bajet ini telah mengambil kira keperluan semua rakyat Malaysia.

"Pembentangannya dimungkinkan oleh pengurusan kewangan negara yang cekap dan berhemat selama ini," kata beliau.

Beliau berkata bajet ini "mendakap semangat dan realti pentadbiran terkini" yang mengangkat konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk yang memandu hala tuju negara.

Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) pula menjadi peta panduan.

"Enam NKRA, Model Baru Ekonomi dengan lapan terasnya pula membentuk kerangka kerja kepada arah tuju tersebut," kata beliau dan menambah perinciannya sedang dan akan diterjemahkan melalui RMK-10.

Di bawah strategi membangunkan modal insan, Najib juga mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah di bawah langkah meningkatkan produktiviti pekerja.

Majlis ini akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, akademia dan pertubuhan bukan kerajaan dan individu. Sekretariatnya adalah di Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh majlis tersebut.

Langkah-langkah lain membangunkan modal insan termasuk memperluaskan penglibatan wanita dalam ekonomi dan mempergiatkan program latihan dan kemahiran.

Bagi melaksanakan strategi ketiga iaitu mensejahterakan hidup rakyat, antara lain RM1.2 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjalankan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.

Kerajaan juga akan meningkatkan pemilikan rumah dan meningkatkan taraf hidup pendudukan luar bandar.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan