Bajet 2011 Menjurus Kepada Pembangunan Insaniah

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bajet 2011 dilihat lebih menjurus kepada pembangunan minda dan insaniah berbanding pembangunan berbentuk material semata-mata. Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Ir Zaini Ujang berkata Bajet 2011 menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk merealisasikan matlamat kerajaan menjadikan negara ini sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. "Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam bajet kali ini cuba mengalihkan tumpuan daripada pembangunan material kepada perubahan minda dan modal insan.

"Ini memang sejajar dengan apa yang diperlukan jika negara mahu mencapai taraf negara maju kerana kemajuan berbentuk material dan infrastruktur sahaja tidak mencukupi," katanya.

Beliau turut menyokong langkah kerajaan untuk menambah peratusan tenaga akademik berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) di institusi pengajian tinggi kerana selain menambah baik peluang kenaikan pangkat kepada pensyarah, ia turut membuka peluang kepada tenaga pengajar meningkatkan pencapaian kerjaya.

"Ini sesuatu yang luar biasa... pensyarah boleh dipertimbang kenaikan pangkat dan boleh dianugerahkan sebagai Profesor Ulung tanpa perlu melalui proses kenaikan pangkat seperti pada masa ini, dan ini akan memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kerjaya," katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berkata penekanan terhadap pembangunan modal insan dalam pembentangan bajet kali ini memastikan rakyat negara ini lebih bersedia dalam menghadapi status negara maju.

Kualiti, ilmu dan daya saing merupakan aspek penting yang perlu dimiliki golongan belia masa kini agar menjadi rakyat yang benar-benar dapat berbakti memajukan tanah air di masa hadapan, katanya.

"Modal insan merupakan satu aset penting negara pada masa akan datang. Pelaburan dan pembentukkannya bermula hari ini," katanya.

Peruntukkan RM213 juta sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi, serta imbuhan kepada Pengetua, Guru Besar dan Guru Cemerlang, kata Hashim akan membantu meningkatkan motivasi warga pendidik melaksanakan tanggungjawab mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan