BAJET 2011: Kadar Empat Tol PLUS Tidak Dinaikkan Dalam Tempoh Lima Tahun - Berita Semasa | mStar

BAJET 2011: Kadar Empat Tol PLUS Tidak Dinaikkan Dalam Tempoh Lima Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bagi meringankan beban pengguna lebuh raya, kerajaan mengumumkan kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen hari ini, berkata langkah itu adalah kerana kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat.

Bagi memperluas perkhidmatan kesihatan awam, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sebanyak RM15.2 bilion diperuntukkan bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat serta mendapatkan bekalan ubat serta peralatan perubatan.

Beliau berkata sejak tahun lepas, sejumlah 51 Klinik 1Malaysia sudah beroperasi dan kerajaan akan menambah lagi sebanyak 25 buah klinik berkenaan.

"Kerajaan komited untuk memastikan akses kepada kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan