Ada Konspirasi Kaitkan PM, Isteri Dalam Kes Liwat : Wee

Diterbitkan: Rabu, 13 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mendakwa wujudnya konspirasi oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara ini, menurut Wee, jelas terbukti apabila kandungan surat akuan bersumpah (SD) pertama yang ditandatangani bekas setiausaha sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman pada 29 Jun 2008, langsung tidak mengaitkan sesiapapun (Najib ataupun Rosmah) sebagai terlibat dalam laporan polis bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, berhubung kes liwat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, SD kedua yang ditandatangani Rahimi, kandungannya telah dipinda dan cuba mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes itu.

"Saya telah diminta menjadi 'pesuruhjaya sumpah' pada SD pertama Muhamad Rahimi, dan saya boleh mengatakan 100 peratus dalam surat pertama yang dikatakan oleh pihak tertentu telah hilang, kandungannya tidak menuduh sesiapapun (Najib ataupun Rosmah) terlibat dalam laporan polis Saiful," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengenai SD kedua, Wee menafikan ia ditandatangani pada hari yang sama dengan SD pertama, sebaliknya beberapa hari kemudian, tanpa kehadiran beliau.

Sehubungan itu, Wee yang juga seorang peguam menegaskan, beliau langsung tiada kaitan dengan SD kedua Rahimi sebagaimana yang didakwa oleh ketua penerangan parti PKR Latheefa Koya dan ketua Pemuda PKR Kedah Saiful Izham Ramli.

Bagaimanapun, ketika ditanya siapa yang merancang konspirasi itu, beliau enggan mengulas lanjut.

Wee, yang juga bekas anggota majlis tertinggi PKR, tetapi keluar daripada parti itu Mei lepas kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinannya, berkata demikian sebagai respons kepada cubaan Latheefa dan Saiful Izham untuk mengaitkan beliau dengan skandal tersebut, dalam keterangan mereka di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman semalam.

Baru-baru ini, Rahimi mendakwa beliau dipaksa menandatangani dua SD pada 2008 bagi mempertahankan Anwar daripada pertuduhan liwat serta mengaitkan Najib dan isterinya dalam kes itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan