Nilai Kerosakan Akibat Himpunan Balak Di Sungai Rajang Dianggarkan RM2.7 Juta

Diterbitkan: Selasa, 12 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Himpunan balak dan sampah sarap yang memenuhi Sungai Rajang mengakibatkan kerosakan bernilai RM2.7 juta, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan pada Selasa.

Beliau berkata kejadian itu yang bermula Khamis lepas dari kem pembalakan Malataheli, kira-kira 75km dari Kapit, memusnahkan dua jambatan pembalakan di hulu Sungai Baleh, lima klinik dan beberapa jeti rumah panjang di Entawau, SK Sempilik dan Nanga Entelawan.

"Kami belum menentukan tahap kerosakan terhadap sistem ekologi kerana pihak berkuasa berkenaan, termasuk Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dan Lembaga Sungai Sarawak (SRB) masih menjalankan kajian awal mengenainya," kata Dr Chan, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana pada sidang akhbar di sini.

Dr Chan, yang sebelum itu diberi taklimat tentang keadaan terkini oleh agensi berkenaan, berkata tiada kematian dilaporkan, terutama dalam operasi mengalihkan himpunan balak dan sampah sarap berkenaan dari puncanya ke muara sungai di Kuala Igan, yang mengambil masa 54 jam.

Ditanya sama ada kegiatan pembalakan haram menjadi punca utama kejadian itu, beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi undang-undang negeri.

Bagaimanapun, kata beliau, kebanyakan syarikat pembalakan besar bersikap bertanggungjawab dan sebagai pihak yang telah menjalankan kegiatan itu sejak sekian lama, syarikat berkenaan tahu lesen mereka akan dibatalkan jika melanggar peraturan.

Beliau menyangkal laporan bahawa kejadian itu berpunca daripada kegiatan pembalakan yang berlebihan dan kelemahan dalam menguruskan kawasan pembalakan kerana pemantauan sering dibuat berhubung amalan perhutanan lestari seperti yang diiktiraf Pertubuhan Balak Tropika Antarabangsa (ITTO).

Katanya sepanjang operasi pembersihan, lampu amaran akan dipasang pada balak yang hanyut dan bot akan digunakan untuk memberi amaran kepada masyarakat perkapalan tentang kewujudan sampah sarap berbahaya di sungai terpanjang di Malaysia itu.

Beliau berkata kejadian itu berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan balak buangan terkumpul dan seterusnya mengakibatkan berlaku tanah runtuh serta runtuhan tebing sungai.

Katanya keadaan ini diburukkan lagi oleh fenomena La Nina, yang menyaksikan Sarawak mengalami hujan 40 hingga 60 peratus daripada kadar biasa.

Himpunan balak dan sampah sarap itu mengganggu perkhidmatan kapal kargo dan bot penumpang, yang merupakan kaedah pengangkutan penting bagi penduduk di kawasan Kapit, kira-kira 125km atau tiga jam perjalanan melalui sungai ke Sibu. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan