Tiga Suspek Kes Sosilawati Mohon Perintah Lanjutan Penahanan Mereka Disemak Semula

Diterbitkan: Isnin, 11 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peguam dua beradik dan seorang suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya pada Isnin memfailkan permohonan supaya perintah lanjutan tahanan reman terhadap mereka yang diperoleh pihak polis, disemak semula.

Permohonan itu difailkan peguam Ravi Nekoo pagi tadi di pejabat pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Hakem Arabi & Associates.

Dalam permohonan itu, Ravi menyatakan bahawa berbuat demikian selepas mendapat arahan anak guamnya dan isteri suspek ketiga berhubung perintah yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Ahmad Shakib Ismail pada 8 Okt bagi membenarkan tahanan mereka dilanjutkan.

Beliau meminta Mahkamah Tinggi menyemak perkara itu mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.

Ketiga-tiga suspek berkata mereka telah ditahan pada 11 Sept di alamat No.109, Jalan cempaka, Taman Seri Teluk Datuk, Banting dan ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan polis berhubung laporan kehilangan Sosilawati dan tiga individu lain.

Bagaimanapun, Ahmad Shakib membenarkan permohonan polis dan memerintahkan tahanan reman ketiga-tiga suspek dilanjutkan sehingga 13 Okt.

Dalam permohonan untuk semakan, Ravi meminta Mahkamah Tinggi meneliti beberapa isu termasuk kegagalan majistret berkenaan menimbangkan permohonan bagi perintah tahanan reman secara individu berbanding "omnibus".

Ravi mendakwa majistret berkenaan telah terkhilaf dalam mengeluarkan perintah lanjutan tahanan reman tersebut, sementara alasan yang diberikan polis adalah tidak relevan.

Sementara itu, ketika dihubungi, Ravi berkata mahkamah belum menetapkan sebarang tarikh untuk mendengar permohonan itu.

Selain Sosilawati, 47, turut menjadi mangsa pembunuhan kejam ialah pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawanagn Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas mereka dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 Sept, polis mengesahkan keempat-empatnya dipukul sehingga mati, mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting, Selangor. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan