Pelantikan Tengku Razaleigh Satu Perkembangan Baik:Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 11 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kesediaan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas adalah satu perkembangan yang baik.

"Alhamdulillah. Saya ucapkan terima kasih kerana sudah sah dengan keputusan dan pengumuman yang dibuat Ku Li pada Sabtu, beliau menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Galas oleh Presiden parti," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Malaysia Melbourne di sini pada Ahad, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh selepas pulang ke Kuala Lumpur.

Muhyiddin kini dalam lawatan kerja lima hari ke Sydney dan Melbourne. Beliau dijadual pulang ke Malaysia pada Isnin.

Ketika mengesahkan menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Galas semalam, Tengku Razaleigh berkata tugas itu merupakan tanggungjawab beliau sebagai anggota Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun, selain anggota Parlimen kawasan berkenaan.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil itu, Barisan Nasional (BN) dapat membentuk sebuah pasukan yang boleh bekerja keras bagi menentukan kejayaan calon BN.

"Apa lagi bila Ku Li menerima jawatan ini dan dia sendiri berkata akan menyusun gerak kerja mengatur strategi... ini sesuatu yang begitu proaktif," katanya.

Muhyiddin berkata apa yang penting ialah jentera BN bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kecil itu.

"Saya secara tanggungjawabnya memang tidak boleh lepas tangan... mesti juga terlibat sama... jadi kita akan bekerja rapat," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Galas manakala penamaan calon pula pada 26 Oktober.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 September akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan