Dewan Pemuda PAS Kedah Buat Laporan SPRM Berhubung Isu Air

Diterbitkan: Isnin, 11 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Dewan Pemuda Pas Kedah pada Isnin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan isu bekalan air di negeri ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah Ahmad Yahya berkata laporan itu dibuat adalah atas inisiatif pergerakan itu dan bukan kerana arahan daripada mana-mana pihak.

"Kami dah buat laporan rasmi tentang penyelewengan isu air seperti mana yang disiarkan media sebelum ini dan kita serah sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini Isnin.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Pegawai Khas Menteri Besar Rosli Azmi dan Anggota Dewan Undangan Bukit Lada, Ahmad Izzat Shauki.

Ahmad berkata laporan sebanyak dua muka surat itu diserahkan terus kepada Pengarah SPRM Kedah Datuk Idrus Jaafar di pejabatnya kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Baru-baru ini Idrus meminta kerajaan negeri Kedah atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai apa yang didakwa sebagai penyelewengan berhubung isu air di negeri itu supaya membuat laporan.

Beliau dilaporkan berkata tanpa maklumat lengkap pihaknya tidak boleh menjalankan siasatan kerana kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengenai perkara itu menerusi media adalah terlalu umum.

Sebelum itu, Azizan mendedahkan pihaknya sudah mengenal pasti banyak penyelewengan yang berlaku ketika pemerintahan Barisan Nasional membabitkan isu air dan setiap dakwaan adalah berasaskan fakta serta rekod dan beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasatnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan