15 Wanita Pertama Hadir Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama

Diterbitkan: Isnin, 11 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERI KEMBANGAN: Seramai 15 wanita pertama daripada 28 negara asing hadir pada Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama yang diadakan buat julung-julung kalinya di sini bermula hari ini hingga 13 Oktober.

Persidangan tersebut turut dihadiri oleh enam wakil Wanita Pertama dan 20 menteri.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Persidangan itu berjaya diadakan hasil inisiatif dan cetusan idea isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertindak sebagai sekreteriat penganjur.

Menurut Shahrizat, diskusi hari ini akan merangkumi tiga tajuk utama iaitu (i) kepimpinan masa depan, (ii) memperkasakan kanak-kanak dan (iii) menyediakan persekitaran serta perkembangan masa depan kanak-kanak.

"Dalam proses menyiapkan kertas kerja persidangan ini, pihak kementerian telah menjemput para remaja di negara ini untuk berkongsi pandangan mereka mengenai tema yang dipilih.

"Bukan itu sahaja, kami juga mengadakan dua sesi khas dengan membawa 15 kanak-kanak untuk berkongsi pandangan yang sama dengan kami," katanya pada majlis pra-pelancaran Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama di Hotel Palace of The Golden Horses pada Isnin.

Bertemakan 'Anak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok' persidangan tersebut merupakan inisiatif berskala global yang bertujuan untuk mempertingkatkan kesedaran antarabangsa mengenai pentingnya pelaburan bagi pendidikan dan kebajikan holistik kanak-kanak.

Majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Putrajaya, malam ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan