MCA Kecam Ekstremisme, Rasisme - Berita Semasa | mStar

MCA Kecam Ekstremisme, Rasisme

Diterbitkan: Ahad, 10 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA mengecam sebarang bentuk ekstremisme atau rasisme ekoran tindakan ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang sekarang memainkan isu-isu berkaitan agama serta perkauman secara melampau.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, sebagai warganegara yang cintakan keamanan, beliau menyeru semua ahli politik tidak mengira parti pro atau anti-kerajaan supaya menolak kepimpinan yang berasaskan rasisme.

“Jika BN terus-menerus mengambil jalan tengah dan berjuang atas fahaman politik yang mengambil kira nasib dan kepentingan semua kaum, saya berkeyakinan penuh rakyat akan terus memberikan sokongan mereka kepada pimpinan Datuk Seri (Najib Tun Razak).

“Selagi Perdana Menteri terus memperjuangkan polisi rakyat diutamakan di bawah konsep 1Malaysia, suara-suara ekstremisme, sama ada di dalam agama mahupun perkauman akan menjadi suara minoriti,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Perhimpunan Agung MCA ke-57 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Ahad.

Sementara itu, Soi Lek memberitahu, perkara paling utama yang harus menjadi perhatian menjelangnya pilihan raya umum ke-13 adalah bagaimana untuk menarik perhatian lebih empat juta rakyat negara ini yang layak mengundi untuk mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, golongan tersebut berpotensi dan bakal menentukan siapakah yang membentuk Kerajaan Persekutuan akan datang.

Menurutnya, para pengundi muda yang bijak dan lebih muda kini mahu diiktiraf dan menjadi sebahagian daripada proses pembangunan negara.

“Mereka mahu dihormati sebagai warganegara dan tidak perlu diperingatkan agar berasa terhutang budi kerana nenek moyang mereka diberikan kerakyatan dan percayalah mereka tidak mahu dipanggil sebagai ‘pendatang’,” katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan