Hock Nan Selamat Dari Tersingkir - Berita Semasa | mStar

Hock Nan Selamat Dari Tersingkir

Diterbitkan: Ahad, 10 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Cubaan menyingkirkan Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan pada Ahad gagal selepas 174 dari 320 perwakilan menolak usul itu dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di sini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Pengerusi Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Youn yang sebelum itu memberi penerangan kepada perwakilan soal perjalanan EGM yang pertama kali dalam sejarah parti itu diadakan.

Pada pertengahan bulan lalu sekumpulan ahli Gerakan negeri ingin menyingkir Hock Nan sebagai Pengerusi Gerakan negeri dengan memohon secara rasmi agar satu EGM diadakan segera bagi membicarakan hal itu.

Kumpulan ini yang menamakan diri mereka ‘Suara Akar Umbi’ telah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada ibu pejabat parti agar satu EGM diadakan segera. Surat permohonan itu ditandatangani oleh 60 perwakilan negeri.

Mereka cuma menyatakan satu agenda sahaja dalam EGM itu iaitu untuk menyingkirkan Teng.

Berdasarkan perlembagaan parti, notis untuk memanggil EGM perlu dihantar kepada para perwakilan 21 hari sebelum persidangan luar biasa itu bermula. Oleh yang demikian, jika permohonan untuk mengadakan EGM diluluskan, paling awal ia akan diadakan pada 8 Oktober.

Hock Nan sebelum ini pernah dipetik sebagai berkata yang beliau bersedia untuk berhadapan dengan EGM pada 10 Oktober sekiranya kumpulan yang menentang itu mampu mengumpulkan 50 tanda tangan perwakilan yang terpilih ke perhimpunan agung.

Adalah difahamkan, kebanyakan bahagian yang menyokong kumpulan penentang ini adalah dari Seberang Perai.

Hock Nan, 65, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri selama empat penggal dan berkhidmat sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri tewas kerusi Pulau Tikus pada pilihan raya umum 2008.

Pada pemilihan Gerakan negeri pada September 2008, beliau menewaskan bekas Setiausaha Agung, Datuk Seri Chia Kwang Chye hanya dengan kelebihan 10 undi untuk jawatan yang disandang sekarang.

Suatu ketika dahulu, beliau turut dilihat sebagai penganti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai ketua menteri selepas Tsu Koon memutuskan untuk bertanding kerusi Parlimen Batu Kawan pada pilihan raya umum lalu.

Malangnya, parti yang telah memegang jawatan ketua menteri itu selama 39 tahun tewas di kesemua 13 kerusi Dewan Undangan Negeri dan empat kerusi Parlimen.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan