UMNO Kelantan Tapis Penceramah Jamin Kemenangan BN Di Galas

Diterbitkan: Sabtu, 9 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Umno Kelantan akan membuat tapisan barisan penceramahnya pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi memastikan hanya penceramah berwibawa sahaja dibenarkan berkempen.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dali Hussin berkata ia bagi mengelakkan ada penceramah yang dipertikaikan kebolehan dan tidak mampu memberikan hujah bertepatan dengan isu semasa.

"Sebab itu penceramah yang akan berkempen nanti perlu bersesuaian dan mampu memberikan impak dengan hujah-hujah yang bernas dan diterima pengundi di DUN Galas itu nanti.

"Kita akan susun jentera penerangan ini agar menepati kehendak pengundi dan bukan ceramah sahaja yang akan ditekankan tetapi ada kaedah kempen lain akan kita gunakan untuk mematah serangan lawan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Futsal 1Belia Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di sini, Sabtu.

Dali yang juga Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa itu berkata tidak semua modul pilihan raya kecil DUN Manik Urai yang diadakan pada Julai tahun lalu sesuai untuk digunakan di Galas nanti.

"Keadaan di Galas mungkin berbeza dan kehendak rakyat tidak akan sama seperti di Manik Urai dan sebab itu tidak semua modul dan pendekatan di Manik Urai boleh digunakan di Galas nanti," katanya.

Beliau berkata jentera penerangan Umno Kelantan yang diketuainya kini sudah bersiap sedia untuk berkempen di Galas dan menunggu lampu hijau daripada ibu pejabat parti untuk bergerak.

Dali berkata selain itu pihaknya juga akan mendekati kira-kira 2,000 pengundi Cina di DUN itu dan yakin isu perkauman yang sering dijadikan 'senjata' oleh pembangkang tidak berkesan kali ini.

"Pengundi Cina sudah memahami keadaan politik semasa dan yakin akan menerima semula BN menerusi konsep 1Malaysia serta pengaruh Pengarah Jentera Pilihan raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah," katanya.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyat dari Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu akan diadakan pada 26 Oktober ini dan jika ada pertandingan tarikh pilihan raya ditetapkan pada 4 November. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan