Tun Dr Mahathir Selamat Pulang Ke Tanah Air

Diterbitkan: Sabtu, 9 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang malam ini, setelah dimasukkan ke Hospital Epworth, Melbourne, Australia kerana jangkitan kuman di dada.

Beliau yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba dengan menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne.

Kepulangan Dr Mahathir dan isteri, disambut oleh beberapa tetamu terhormat termasuk bekas Penasihat Agama beliau, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, Pengerusi Proton Datuk Nadzmi Mohd Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir serta anggota keluarga terdekat.

Dr Mahathir kemudiannya meninggalkan perkarangan lapangan terbang itu, dengan menaiki sebuah kereta dan diiringi enam buah kereta lain, terus pulang ke rumahnya di Mines, Seri Kembangan, dekat sini.

Turut kelihatan di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang itu, kira-kira 80 orang terdiri daripada anggota Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan penyokong Barisan Nasional (BN) yang berkumpul sejak pukul 7 petang untuk menyambut kepulangan bekas Perdana Menteri keempat itu.

Ketika melintasi sekumpulan penyokong berkenaan, Dr Mahathir membuka cermin keretanya, dan melemparkan senyuman sambil melambai-lambaikan tangan kepada penyokong yang berbaris di tepi jalan keluar lapangan terbang itu.

Dr Mahathir dimasukkan ke Hospital Epworth Sabtu lepas dan bagaimanapun beliau dibenarkan keluar dari hospital itu pada hari Selasa dan kemudiannya berehat di sebuah hotel di Melbourne sebelum pulang ke tanah air hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berada di Australia kerana dijadual berucap kepada penuntut Malaysia dalam sebuah bengkel di Melbourne pada hari Sabtu, namun dibatalkan selepas beliau jatuh sakit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan