Dasar Perlindungan Biodiversiti Perlu Diperkemas, Titah Raja Nazrin

Diterbitkan: Sabtu, 9 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah dasar dan undang-undang sedia ada berkaitan biodiversiti perlu disemak semula, dikemaskini atau digantikan, supaya sejajar dengan realiti semasa.

Ketika menyampaikan pendapat baginda pada Persidangan Antarabangsa Persatuan Pencinta Alam Malaysia di sini, Raja Nazrin bertitah aspek ekonomi yang terdapat pada biodiversiti dan kegunaannya yang bernilai berjuta-juta ringgit, perlu diambil kira dalam proses membuat keputusan.

Sambil melahirkan kegembiraan baginda kerana Malaysia mempunyai dasar yang komprehensif berhubung kepelbagaian biologi, penerimaan Wawasan Bersama mengenai Biodiversiti (2009) dan penggubalan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Raja Nazrin bertitah dasar dan undang-undang yang digubal secara teliti merupakan asas penting dalam usaha melindungi biodiversiti.

Dalam titah bertajuk "Melindungi Biodiversiti Malaysia untuk Masa Depan Kita', baginda bertitah peruntukan kewangan yang terhad, kekurangan kepakaran dan amalan tadbir urus yang lemah akan menghasilkan pelaksanaan yang tidak sempurna dan penguatkuasaan yang lemah.

"Sudah tentulah, dasar serta undang-undang tidak akan berkesan jika ia tidak dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan berkesan.

"Di samping itu, sumber yang ada juga perlulah mencukupi untuk membolehkan kita mentadbir urus, mengurus dan melindungi alam semula jadi kita dengan berkesan," titah baginda.

Raja Nazrin mengingatkan bahawa tanggungjawab memulihara biodiversiti tidak sepatutnya diserahkan kepada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) semata-mata.

"Beta yakin bahawa badan korporat juga mempunyai kedudukan terbaik untuk turut memberi sumbangan penting. Syarikat perniagaan memiliki kemampuan untuk menghasilkan inovasi dalam bidang teknologi dan menghasilkan kaedah untuk mewujudkan kemajuan sebenar dalam bidang pembangunan lestari.

Sambil menegaskan bahawa Malaysia adalah antara segelintir negara yang memiliki kekayaan dalam pelbagai sumber, Raja Nazrin menggesa rakyat Malaysia supaya berfikir dan bertindak secara global dalam menangani isu biodiversiti di negara ini.

Titah baginda, dengan membangunkan dan memberi sokongan terhadap usaha mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan, Malaysia memberi sumbangan dalam memperkayakan pengetahuan dalam mencari penyelesaian untuk diguna pakai oleh wilayah lain di dunia.

Raja Nazrin juga melahirkan harapan untuk melihat lebih banyak penyelidikan terkini dan termaju dijalankan oleh institusi pendidikan di negara ini terhadap isu-isu berkaitan kepelbagaian biologi tropika.

Raja Nazrin juga bertitah baginda ingin melihat lebih banyak kerjasama terjalin antara kerajaan, badan korporat NGO di negara ini dalam menangani isu biodiversiti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan