Suara Gerakan Dakwa Cubaan Rasuah Sebelum Mesyuarat EGM Ahad Ini

Diterbitkan: Khamis, 7 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Parti Gerakan Pulau Pinang nampaknya sedang dilanda masalah lagi dengan terbaru dakwaan rasuah menjelang mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti peringkat negeri itu Ahad ini.

Kumpulan 'Suara Akar Umbi Gerakan' berkata gelaja rasuah wujud menjelang mesyuarat EGM itu yang dipanggil oleh kumpulan itu bagi menyingkirkan pengerusi negeri yang dilantik Datuk Dr Teng Hock Nan.

Pemimpin kumpulan itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Heng, mendakwa Dr Teng telah menawarkan jawatan penyelaras kawasan Parlimen dan Dewan Undangan negeri (DUN) kepada perwakilan bagi meraih sokongan semasa berkempen di kawasan Seberang Perai.

Jawatan penyelaras kawasan diwujudkan oleh Barisan Nasional (BN) bagi parti Gerakan yang tewas kerusi Parlimen dan DUN pada pilihan raya umum lepas di negeri itu.

"Dr Teng menganjurkan jamuan malam untuk perwakilan di kawasan Seberang Perai untuk mendapatkan sokongan. Saya juga dengar dia (Dr Teng) menawarkan jawatan penyelaras kepada perwakilan yang boleh menyokongnya dan elak mesyuarat EGM Ahad ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Khamis.

Bagaimanapun, Heng yakin mesyuarat EGM akan berjalan lancar mengikut jadual kerana beliau percaya pemimpin peringkat akar umbi tidak akan terbawa-bawa dengan taktik kotor beberapa pemimpin negeri.

Pada satu sidang akhbar kemudian, naib pengerusi Pemuda Gerakan negeri Ng Say Kheng mendakwa beliau adalah antara perwakilan yang ditawarkan jawatan penyelaras oleh seorang pemimpin negeri.

Katanya, beliau menerima panggilan pada pukul 11 pagi tadi dari seorang petugas ibu pejabat Gerakan negeri yang menjemput beliau untuk minum bagi membincangkan beberapa perkara.

"Pemanggil itu juga memberitahu bahawa ketuanya, seorang pemimpin kanan parti, mahu menawarkan jawatan penyelaras jika mereka dapat berjumpa.

"Saya menolak tawaran itu dengan enggan bertemu dengan pemimpin itu kerana saya tidak mahu terbabit dalam rasuah.

"Saya percaya bukan saya sahaja yang ditawarkan jawatan itu dan akan bincang dengan perwakilan lain mengenai tindakan susulan," kata Ng.

Mengikut perlembagaan parti, dua pertiga atau 262 perwakilan harus mengundi menentang Dr Teng untuk membolehkan usul tidak percaya diambil terhadap pemimpin tersebut.

Ketika dihubungi oleh Bernama, Dr Teng menolak dakwaan kumpulan tersebut dan menjelaskan apa yang berlaku adalah satu salah faham.

"Kami menyiasat dakwaan tersebut dan mendapati ianya tidak benar. Apa yang berlaku adalah salah faham antara kumpulan itu dengan petugas ibu pejabat negeri," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan