Pemilihan C.C Liew Tepati Kriteria

Diterbitkan: Khamis, 7 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

C.C Liew menerima ucapan tahniah daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop (dua dari kiri).Foto The Star/Norafifi Ehsan
C.C Liew menerima ucapan tahniah daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop (dua dari kiri).Foto The Star/Norafifi Ehsan

KUALA LUMPUR: Pemilihan Pengarang Eksekutif Sin Chew Media Corporation Berhad, Datuk C. C Liew menepati kriteria yang dikehendaki untuk diangkat sebagai tokoh berwibawa dalam dunia kewartawanan Cina sekali gus meletakkannya sebaris penerima Anugerah Tokoh Wartawan Negara terdahulu.

Pengerusi Panel Pemilih Tokoh Kewartawanan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, keputusan sebulat suara untuk memilih Liew, 72, dicapai berdasarkan pencapaian beliau selama ini yang tiada tolok bandingnya dalam dunia kewartawanan secara berterusan.

"Kami mendapati beliau tetap setia bersama Sin Chew tidak kira pada waktu susah mahupun senang. Walaupun tidak dikenali ramai, hubungan akrab kami membolehkan saya mengenalinya secara luaran dan dalaman. Semangat dan perasaan cintanya terhadap bidang kewartawanan tidak pernah padam," kata Zainuddin ketika menyampaikan pidato pengisytiharan anugerah berkenaan di sini, Rabu.

Zainuddin yang juga bekas Menteri Penerangan mengakui Liew merupakan wartawan sejati yang berada pada kelas tersendiri sebaris dengan Tokoh Wartawan Negara 1992, Tan Sri Lee Siew Yee dan Tan Sri Mazlan Nordin (Tokoh Wartawan Negara 2000).

"Dia memberikan sumbangan yang bersifat universal dengan harapan dan cita-cita untuk menegakkan profesionalisme kewartawanan tanah air. Kegigihan itu dicapai menerusi usahanya dari awal dalam usaha membangunan kumpulan wartawan yang komited dan bersemangat tinggi," jelasnya.

Berbeza dengan akhbar lain, Zainuddin berkata, Liew tetap menerajui Sin Chew sehingga membawa perubahan besar dengan mengekalkan imej kesinambungan dan konsisten dalam identiti dan dasarnya.

"Kita harus jujur untuk mengakui perkara itu. Walaupun beliau hanya menjadi Ketua Pengarang semasa era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau tetap berkuasa di sebalik tabir yang menerapkan nilai kejujuran, kesungguhan kerja dan pendekatan yang tidak sia-sia," ujarnya.

Di bawah kepimpinannya, tradisi Sin Chew diubah dengan yang memberi keutamaan kepada berita antarabangsa khususnya dari China untuk menghiasi muka depan akhbar itu.

Tindakan itu ternyata menjadi ikutan akhbar Cina lain yang mula memberi keutamaan kepada berita politik, sosial, kebudayaan dan pembangunan masyarakat.

Tambahnya, masyarakat Cina kini boleh berbangga dengan pengorbanan beliau yang menekankan tanggungjawab sosial dengan serius dalam dunia kewartawanan di negara ini.

Sementara itu, Liew turut menghasilkan sebuah buku berjudul Walking Tall 80 Years of Sin Chew yang diterbitkan bersempena ulang tahun ke-80 akhbar berkenaan. Beliau turut diberi kepercayaan oleh Dr. Mahathir untuk menterjemahkan buku Tun Mahathir Malay Dilemma ke dalam bahasa Cina.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan