KUALA LUMPUR: PAS meramalkan 48 peratus peluang baginya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas di Gua Musang berbanding 52 peratus bagi Barisan Nasional pada pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 4 November depan.
Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata Pas tidak memandang ringan
pertandingan bagi pilihan raya kecil itu kerana menganggap kawasan itu sebagai
kubu kuat Umno.
"Kita tidak melihat mudah (pilihan raya ini) kerana kita penyandang. Sebab
itu kalau kita kalah tentulah ada sikit terjejas walaupun dia tidak mengubah
kerajaan," katanya pada sidang akhbar di pejabat PAS Pusat di sini Khamis.
Mengenai Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum
ini disebut-sebut sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil itu, beliau percaya
pemimpin itu tidak akan menerima tawaran berkenaan.
"Saya tak fikir dia akan terima jadi calon sebab dia Anggota Parlimen. Buat
apa nak jadi calon ADUN. Kalau menang jadi ADUN biasa. Saya rasa dia ada
pertimbangan sendiri," katanya.
Mengenai calon PAS pula, beliau berkata parti itu dijangka bermesyuarat
minggu depan untuk membincangkan perkara itu selepas menerima senarai calon
daripada PAS Kelantan.
Mengenai dakwaan bekas pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Rahimi
Osman bahawa beliau dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah berhubung kes
liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu, Mustafa berkata ia tidak akan
menjejaskan peluang pakatan pembangkang pada kempen pilihan raya kecil itu.
"Ia tidak ada kena mengena dalam pilihan raya kecil ini kerana lebih banyak
isu tempatan yang akan diketengahkan," katanya.
Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Chek
Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lepas. Penamaan calon ditetapkan pada 26 Oktober. - BERNAMA