Kerajaan Selangor Diberi Dua Bulan Lagi Untuk Ambil Alih Syarikat Konsesi Air

Diterbitkan: Khamis, 7 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) sedia memberikan tempoh dua bulan lagi kepada kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air di negeri itu, atas kesediaan pembeli dan penjual.

Menterinya Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kaedah itu menggunakan pembiayaan sendiri pada kadar yang munasabah dan tidak menyebabkan kenaikan kadar tarif yang tinggi.

"Sebagai membuktikan keterbukaan kerajaan Persekutuan terhadap cadangan kerajaan Selangor, saya menegaskan sekali lagi bahawa Kementerian tidak sekali-kali membantah cadangan model holistik kerajaan negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan negeri Selangor benar-benar ikhlas untuk menjaga kepentingan rakyat di negeri itu, kerajaan negeri sewajarnya memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya terhadap inisiatif yang diusahakan oleh kerajaan Persekutuan termasuklah menyokong pelaksanaan Projek Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang tidak seharusnya dikaitkan dengan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Selangor.

Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulangi pendiriannya bahawa Langat 2 tidak perlu disegerakan dengan alasan bekalan air untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi sehingga 2019.

Katanya, adalah lebih tepat jika KETTHA menyelesaikan rundingan penstrukturan semula industri air di Selangor dalam masa dua bulan ini di samping mempersoalkan sikap kerajaan pusat yang mendahulukan projek loji rawatan itu seolah-olah ia amat penting dalam menyelesaikan masalah perkhidmatan air di Selangor.

Langat 2 bertujuan menampung keperluan air bersih di tiga kawasan iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga tahun 2025.

Projek yang bernilai RM8.65 bilion itu diluluskan oleh kerajaan persekutuan bagi memenuhi keperluan bekalan air di tiga kawasan itu sehingga tahun 2025 dan ia dijangka siap pertengahan 2014.

Chin berkata, walaupun kerajaan Selangor masih berpendirian bahawa Langat 2 tidak perlu disegerakan, pihaknya akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik untuk meneruskan pelaksanaan projek ini kerana unjuran yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air negara jelas menunjukkan bahawa tindakan segera perlu diambil bagi memastikan bekalan air di negeri Selangor adalah mencukupi pada tahun 2014.

Beliau berkata, pembinaan loji rawatan air berskala besar dan jajaran paip air memerlukan masa untuk disiapkan, lebih-lebih lagi di kawasan yang sibuk seperti di Lembah Klang.

"Oleh itu, tempoh tiga tahun setengah yang diperuntukkan sekarang amat kritikal bagi memastikan loji tersebut disiapkan dan mampu membekalkan air seperti dikehendaki menjelang tahun 2014 nanti," katanya.

Chin berkata, kerajaan juga menyambut baik tindakan kerajaan negeri melantik Pengarah Kawal Selia Air dan berharap agar beliau dapat bekerjasama dengan pegawai kementerian dan diberi mandat yang mencukupi bagi memastikan pelaksanaan Langat 2 dapat disegerakan.

Sehubungan itu, katanya, kenyataan Menteri Besar Selangor bahawa beliau mengambil sikap bermusuh dengan kerajaan negeri adalah tidak tepat malah rundingan antara kedua-dua pihak masih berterusan di mana satu perbincangan untuk menyelaraskan isu berkaitan unjuran permintaan air di negeri itu akan diadakan 18 Oktober ini membabitkan Ketua Setiausaha Kementerian dengan pihak SPAN dan kerajaan Selangor.

Mengenai kenyataan Khalid bahawa beliau mengugut untuk menyaman kerajaan Selangor berhubung isu Langat 2, Chin berkata, ia tidak tepat sama sekali.

"Sebaliknya, saya telah menyatakan bahawa kementerian saya sedang meneliti semua opsyen yang ada termasuk opsyen perundangan bagi memastikan pelaksanaan Langat 2 dapat diteruskan seperti yang dirancang bagi memastikan negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak mengalami masalah kekurangan bekalan air pada 2014," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan