Proton Sokong Dasar Kenderaan Tamat Hayat Pada Bajet 2011

Diterbitkan: Rabu, 6 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd berharap kerajaan menimbang melaksanakan dasar kenderaan tamat hayat (ELV) dalam Bajet 2011 bagi menampung industri automotif negara.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, dasar ELV itu memberi impak segera terhadap keseluruhan ekosistem seperti yang dilaksanakan menerusi pakej rangsangan setahun yang lepas.

"Kami faham ia merupakan satu proses yang mahal, dan kami bersedia berbincang dengan kerajaan untuk mencari kaedah bagaimana peserta industri dan kerajaan boleh memainkan peranan," katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri Proton, di sini hari ini.

Syed Zainal berkata, kenderaan lama perlu ditamatkan hayatnya apabila jumlah industri automotif mencapai peringkat ketepuan.

Beliau berkata, sudah sampai masanya untuk kerajaan menyediakan pakej dan insentif bagi memastikan kereta-kereta lama yang tidak selamat dan tidak mesra alam, tidak berada atas jalan.

"Ini boleh dilihat di negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Indonesia," katanya.

"ELV membabitkan kereta dan trak ringan yang dianggapkan sampah dan perlu dilupuskan.

Syed Zainal berkata, kerajaan juga perlu menyediakan insentif untuk penggunaan teknologi hijau serta geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mempromosi inovasi, sejajar dengan Model Baru Ekonomi.

Langkah itu kata beliau, akan menggalakkan aktiviti R&D dalam negara dengan harapan teknologi itu boleh dikomersilkan.

"Itu setidak-tidaknya sebagai pemangkin oleh kerajaan dalam memudahkan peserta automotif seperti Proton, serta pengguna, untuk mula peka terhadap kenderaan berteknologi hijau," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan